Selasa, 9 Januari 2018

Piala FA: Peluang terbaik tunggu Kelantan

ARKIB : 07/03/2009
Oleh Rodelio Junjun Taucan
rodelio.taucan@utusan.com.my
KOTA BHARU - Berdasarkan prestasi semasa, inilah peluang terbaik untuk Kelantan melayakkan diri ke perlawanan akhir piala FA, namun langkah awal yang perlu diselesaikan ialah menewaskan UPB-My Team pada saingan suku akhir kedua hari ini.

Berbekalkan kelebihan satu gol ditempat lawan dan faktor bermain di tempat sendiri, Peter James Butler yakin pasukan bimbingannya itu mampu menggalas cabaran yang bakal dihadapi.

Sememangnya atas kertas, Kelantan bagaikan sudah melangkah sebelah kaki kerana Stadium Sultan Muhamad IV tidak mudah menyaksikan skuad Kijang rebah, apatah lagi dengan sokongan yang melimpah kelak.

Ujarnya, kehilangan penjaga gol, Halim Napi dan pemain pertahanan, Ahmad Azlan Zainal kerana dilayangkan kad merah tidak menggugat kerana pemain simpanannya juga mempunyai kredibiliti seimbang.

Shahrizan Ismail yang diturunkan pada perlawanan pertama membuktikan dia tidak sepatutnya terus kekal di bangku simpanan.

"Ini adalah masa yang terbaik untuk mereka yang diturunkan membuktikan kebolehan dan kita akan main seperti biasa tanpa sebarang tekanan.

"UPB-My Team tidak boleh dipandang rendah, mereka pasti mempunyai rencana sendiri dan kita juga ada rancangan untuk mereka dan perlu bekerja lebih keras," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Jelasnya, jika semua pemain memberi komitmen yang jitu, mereka tidak akan mempunyai masalah untuk layak ke saingan separuh akhir malam ini.

Sementara itu, bercakap mengenai barisan pertahanan skuad itu yang mudah dibolosi katanya, perkara paling penting adalah menjaringkan gol kemenangan.

"Pertahanan kami mungkin longgar kerana sedikit kesilapan tetapi yang penting barisan penyerang mampu menjaringkan gol untuk memenangi perlawanan.

"Saya datang ke sini untuk bermain bola sepak dan taktik menyerang adalah cara bola sepak saya, saya tidak kisah apabila gawang dibolosi yang penting kita menang dan dapat tiga mata," ujarnya.

Jelasnya, risiko gawang dibolosi merupakan hakikat yang terpaksa di tanggung mana-mana pasukan yang menggunakan corak permainan menyerang.

Sementara itu, penjaga gol kedua Kelantan, Shahrizan Ismail yang akan menggantikan Halim Napi bersedia untuk memikul tanggungjawab tersebut.

"Mungkin ada sedikit rasa gemuruh kerana lama tidak beraksi tetapi saya akan cuba mengatasi perasaan itu dan mungkin selepas 10 minit permainan perasaan itu akan hilang," jelasnya.

Kelantan pastinya menagih sentuhan penyudah Khalid Jamlus dan Indra Putra Mahayuddin selain Badri Radzi yang bertindak merencanakan serangan ke kubu UPB-MY Team dalam pertemuan malam ini.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0307&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz53h7tVELA

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan :

Catat Ulasan