PERSATUAN Bola Sepak Kelantan
(KAFA) terpaksa menamatkan kontrak lima pemain yang jarang mendapat tempat
dalam kesebelasan utama selain menilai semula barisan pemain sedia ada sebelum
pintu perpindahan pemain dibuka, Mei ini.
Semua pemain berkenaan mencapai
kata sepakat dengan KAFA untuk ditamatkan kontrak lebih awal, selepas beberapa
kali diberi amaran bertulis supaya meningkatkan prestasi masing-masing.
Presiden KAFA, Bibi Ramjani
Illias Khan berkata pihaknya terpaksa melepaskan pemain berkenaan bagi
membolehkan mereka mendapat peluang beraksi bersama pasukan lain dalam saingan
Liga Malaysia (Liga-M), selain membantu mengurangkan beban kewangan persatuan.
"Kita terpaksa melakukan
tindakan itu dan pemain perlu memahami pihak pengurusan dalam usaha
meningkatkan prestasi pasukan dan mengurangkan bebanan kewangan," katanya
kepada Bernama di sini, hari ini.
Ramjani berkata keputusan
menamatkan kontrak pemain terbabit dibuat selepas mendapat pandangan dan penilaian
ketua jurulatih baharu, Fajr Ibrahim, yang dilantik minggu lalu dan diberi
kuasa sepenuhnya membentuk semula TRW bagi memperbaiki kedudukan dalam Liga
Super musim ini.
Fajr, yang juga Pengarah Teknikal
KAFA, dibantu oleh Yusri Che Lah.
Antara pemain lima pemain
berkenaan ialah pemain import dari Indonesia, Ferdinand Sinaga; bekas pemain
PKNP FC, Sukri Abd Hamid dan pemain keturunan Siam, Kedah, Hattaphon Bun An.
Untuk rekod, KAFA memecat
jurulatih kelahiran Thailand, Sathit Bensoh, selepas tiga perlawanan awal Liga
Super kerana gagal mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) dan tanggungjawab itu
dipangku oleh Yusri dalam dua perlawanan seterusnya.
Selepas lima perlawanan Liga
Super musim ini, Kelantan menduduki tangga kedua tercorot dengan memperoleh empat
mata, hasil satu kemenangan, satu seri dan tiga kekalahan, selain gagal ke suku
akhir Piala FA. - BERNAMA
SUMBERArtikel ini disiarkan pada
: Khamis, 29 Mac 2018 @ 12:38 AM
Tiada ulasan :
Catat Ulasan