Sabtu, 6 Mei 2017

TRW ranapkan impian Pahang




Rosilawati Rosedi
6 Mei 2017
    Aksi penjaga gol Pahang Wan Azraie Wan Teh menyelamatkan bola dalam perlawanan tersebut. - Amirul An
Aksi penjaga gol Pahang Wan Azraie Wan Teh menyelamatkan bola dalam perlawanan tersebut. - Amirul Anuar/Gawang.my

KEKEBALAN Stadium Darul Makmur akhirnya lebur di tangan The Red Warriors (TRW) selepas Pahang terpaksa berputih mata dengan kekalahan tipis 2-3 di tangan lawan dalam aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur di sini sebentar tadi.

Penyerang import TRW Mohamad Ghaddar menjadi watak penting kejayaan pasukan itu dengan dua gol(m-72,78) dalam perlawanan tersebut.

Awal minit permainan menyaksikan TRW nyaris mencemaskan gawang tuan rumah namun cubaan penyerang importnya Mohamad Ghaddar terlebih dulu ofsaid pada m-3.

Selang dua minit giliran pemain tengah Pahang Wan Zaharulnizam Wan Zakaria mendapat peluang namun cubaannya tersasar.

Wan Zaharulnizam sekali lagi melakukan cubaan namun tendangannya tinggi melepasi gawang pelawat.

Sebaliknya Pahang tersentak selepas penyerang import TRW Alessandro Padovani Celin menggegarkan gawang tuan rumah selepas berjaya menyepak masuk menewaskan penjaga gol Wan Azraie Wan Teh pada m-17.

Jentera tuan rumah segera mengatur gerakan namun penyudah tumpul menghalang hajat Pahang mendapatkan gol penyamaan.

Babak pertama berakhir dengan pelawat mendahului satu gol ke atas tuan rumah.

Bersambung babak kedua,tuan rumah mendapatkan sepakan percuma tetapi gol tertampan ke benteng pertahanan lawan.

Wan Zaharulnizam sekali lagi mendapat peluang keemasan namun rembatannya tinggi melepasi palang lawan pada m-49.

Skuad kendalian Dollah Salleh menguasai permainan namun kekentalan pertahanan lawan memastikan gawang mereka kebal.

Kecekapan penjaga gol lawan Mohamad Ramdhan Ab Hamid juga menjadi faktor selepas beberapa kali menyelamatkan bola antaranya cubaaan pemain gantian Joseph Kallang Tie (m-65) dan Wan Zaharulnizam pada m-68.

Tuan rumah akhirnya memastikan gawang lawan bolos menerusi tendangan penyerang import kelahiran Brazil Matheus Alves menewaskan Mohamad Ramdhan pada m-69.

Kem tuan rumah kembali berduka hasil jaringan penyerang sensasi TRW Ghaddar pada m-72.

Tersentak dengan kedudukan itu Pahang giat mengatur serangan dan jaringan Alves membantu tuan rumah menyamakan kedudukan pada m-77.

Selang seminit kemudian giliran Ghaddar merobek gawang Pahang untuk kembali mendahului perlawanan.

Kedudukan kekal hingga wisel penamat dibunyikan pengadil perlawanan Nagor Amir Noor Mohamed sekali gus menyaksikan kekalahan pertama Pahang di halaman sendiri.
SUMBER-SINAR HARIAN ONLINE 6 Mei 2017

Tiada ulasan :

Catat Ulasan