Sabtu, 6 Mei 2017

Kamaruddin akui tugas berat

ARKIB : 13/01/2005
JURULATIH baru skuad bola sepak Kelantan, Kamaruddin Mohd. Noor mengakui memikul tugas berat untuk membentuk satu pasukan yang disegani bagi mengembalikan sokongan peminat seperti yang diharapkan oleh Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA).
Bagaimanapun, katanya, dengan pengalaman sedia ada serta komitmen semua pihak, tugas itu mampu dipikulnya dengan baik.
``Saya terima tugas ini memandangkan Kelantan boleh maju dengan pengurusan baru serta dengan komitmen semua pihak kita harap pasukan yang dibentuk dapat menyaingi pasukan lain,'' katanya kepada Bernama di Kota Bharu, semalam.
Kamaruddin pernah membawa Telekom Melaka ke peringkat separuh akhir Piala FA 2002 tetapi kejayaan lebih besar dicatat apabila beliau mengemudi pasukan Piala Emas Raja-raja Kelantan untuk muncul juara baru-baru ini.
Bagi menguatkan lagi skuad negeri, beliau berkata KAFA sudah meluluskan pengambilan tiga pemain import iaitu dua dari Ghana dan seorang pemain Thailand iaitu Suria Dhtapon yang telah mewakili pasukan negara itu dalam kejohanan Piala Tiger.
``Pemain import amat perlu kerana pengalaman mereka boleh dikongsi dengan pemain tempatan,'' kata Kamaruddin.
Beliau yakin gandingan pemain lama seperti Halim Napi, Nik Fadzli Nik Salleh dan Zoolhisham Yunus serta muka baru dari Liga Simpanan dan pemain import akan menjadikan Kelantan satu pasukan yang akan dihormati dalam Liga Super nanti.
Kelmarin, Kelantan mengadakan perlawanan persahabatan dengan TNB negeri dan menang 5-1.
``Matlamat Kelantan tahun ini ialah memulihkan imej pasukan dan mengembalikan semangat peminat untuk kembali me-menuhi stadium,'' kata Kamaruddin.

Tiada ulasan :

Catat Ulasan