Ahad, 29 Julai 2018

Kelantan ke Piala Malaysia


Kelantan ke Piala Malaysia

PEMAIN Pahang, Mohamadou Sumareh (kiri), diasak pemain Kelantan pada perlawanan Liga Super Kelantan menentang Pahang, di Stadium Muhammad IV, di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE/Shiddieqin Zon
Yatimin Abdullah

29 Julai 2018 11:26 PM
KOTA BHARU 29 Julai - Tuah nyata menjadi milik Kelantan apabila kemenangan 2-1 ke atas Pahang pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, malam tadi mengesahkan pasukan itu ke saingan Piala Malaysia musim ini.

Kemenangan itu menyaksikan, Kelantan yang menduduki tangga ke-11, layak secara merit ke saingan Piala Malaysia sekaligus menyingkirkan Negeri Sembilan selain memberikan kelegaan buat pemangku jurulatih Yusri Che Lah selepas dihimpit pelbagai kontroversi musim ini.


Beraksi di atas permukaan padang yang becak, kedua-dua pasukan mempamerkan aksi berhati-hati apabila setiap peluang yang dimilik gagal diterjemahkan dalam bentuk jaringan.

Bagaimanapun, nasib lebih menyebelahi tuan rumah apabila berjaya memanfaatkan satu-satunya peluang tunggal dengan meledakkan jaringan menerusi rembatan jarak dekat Muhammad Daniel Asyraf Abdullah pada minit ke-42 untuk mendahului 1-0.

Bersambung babak kedua, Iwuji Amutu hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-46 namun rembatannya berjaya diselamatkan penjaga gawang Kelantan Mohamad Faridzuean Kamarudin.

Minit ke-56, Mohd. Faisal Rosli mempersia-siakan peluang menyamakan kedudukan apabila lambungannya sekadar melewati palang meskipun pintu gol Kelantan sudah terngaga.

Amutu kembali menghangatkan suasana perlawanan dengan meledakkan jaringan penyamaan pada minit ke-65 selepas tenang menyudahkan hantaran rakan sepasukan.

Shafiq Sharuddin menceriakan penyokong Kelantan dengan meledakan jaringan kedua pada minit ke-76 untuk menjarakkan kedudukan menjadi 2-1 dan keputusan itu kekal hingga tamat perlawanan. - UTUSAN ONLINE



SUMBER-Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/kelantan-ke-piala-malaysia-1.718736#ixzz5Mh1x71eA
© Utusan Melayu (M) Bhd


Tiada ulasan :

Catat Ulasan