Rabu, 30 Januari 2019

Karathu tidak mahu pemain dibuai mimpi


ARKIB : 22/04/2011
Oleh YATIMIN ABDULLAH
utusankelantan@utusan.com.my
KOTA BHARU - Biarpun masih segar dengan kejayaan membenam Perlis 5-1 Selasa lalu, ketua jurulatih Kelantan, Datuk M. Karathu mengingatkan pemainnya supaya tidak terus dibuai 'mimpi indah' ketika melayan kunjungan Singa Utara dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammed IV, malam ini.

Beliau menganggap pertemuan malam ini tidak boleh dipandang mudah, sebaliknya mahu Red Warriors berwaspada dengan kekuatan pemain muda yang dimiliki oleh Singa Utara.

"Memang kita perlu mencari gol awal untuk menaikkan semangat pasukan dan juga memberi tekanan kepada pasukan lawan.

"Namun, harus diingat kita jangan bagi ruang kepada mereka untuk bergerak bebas. Saya fikir gol pertama nanti mampu mengubah rentak permainan kita dalam pertemuan ini," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Tambahnya, ini merupakan peluang terbaik Kelantan untuk mengutip tiga mata di gelanggang sendiri setelah menang besar di Kangar tempoh hari dan mahu pemain meneruskan rentak cemerlang.

"Pertemuan ini harus dimanfaatkan sebaiknya oleh barisan pemain Kelantan. Mana-mana pemain yang diturunkan tidak boleh melakukan kesilapan. Saya mahu semua pemain memberikan komitmen terbaik," ujar Karathu.

Beliau juga mahu pemain-pemain tampil lebih 'bernafsu' terutama ketika berada di hadapan pintu gol Perlis kerana jumlah jaringan gol boleh mempengaruhi kedudukan sesebuah pasukan untuk bergelar juara.

Ditanya mengenai percaturan taktikal bagi menghadapi Singa Utara, Karathu berkata, beliau sekali lagi bersedia menurunkan barisan yang sama ketika diturunkan dalam aksi di Kangar.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0422&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_09.htm#ixzz5e6S6CrOP
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan :

Catat Ulasan