MISI memulihkan reputasi skuad Kelantan menjadi agenda utama Goerge Boeteng
(gambar) sebaik memulakan tugasnya sebagai ketua jurulatih baharu skuad The Red
Warriors itu pada Isnin lalu, lapor YATIMIN ABDULLAH.
Menurutnya, keutamaan adalah untuk membina semula kekuatan pasukan yang
dilihat agak terumbang-ambing sepanjang kempen Liga Super musim ini.
"Proses tersebut amat penting dalam usaha mengembalikan reputasi
Kelantan bagi menghadapi baki saingan liga musim ini," katanya ketika
ditemui pemberita selepas sesi latihan pasukan di Stadium Sultan Muhammad IV,
Lota Bharu semalam.
Menurutnya, pembinaan semula itu meliputi aspek kawalan bola bagi
memastikan pasukannya mampu mengawal permainan sepanjang perlawanan
berlangsung.
"Saya mahu pemain menguasai perlawanan, ini kerana kita mempunyai
ramai pemain yang bagus dan berkualiti sama ada tempatan mahupun import,"
katanya
Tambahnya, dia menaruh kepercayaan yang tinggi bahawa Kelantan mampu
bangkit dalam perlawanan selepas ini walaupun mereka beraksi di bawah keupayaan
sebenar sebelum ini.
Jelasnya, dengan ramuan pemain yang ada, beliau optimis Kelantan mampu
kembali ke landasan sebenar dalam baki saingan liga selepas ini.
Boeteng dilantik sebagai pengendali baharu The Red Warriors selepas
Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) mengambil tindakan drastik dengan
menamatkan kontrak ketua jurulatih sebelum ini, Steve Darby gara-gara prestasi
hambar.
Bekas pemain kebangsaan Belanda itu turut memuji komitmen yang dipamerkan
oleh pemain Kelantan yang begitu bersemangat ketika menjalani latihan di bawah
kendaliannya.
Katanya, semua pemain menunjukkan semangat juang tinggi dan yakin mereka
akan memberikan persembahan terbaik dalam perlawanan selepas ini.
Boeteng bakal menempuh ujian pertamanya apabila Kelantan bakal menentang
Felda United pada aksi separuh akhir pertama Piala FA di Kota Bharu pada 6 Mei
nanti.
RUJUKAN-
Tiada ulasan :
Catat Ulasan