Ahmad Fakri Saarani cuba
melepasi pertahanan Felda United, Yaroslav Krushelnitskiy pada perlawanan Piala
FA di Stadium Muhamad IV, Kota Bharu malam tadi. - UTUSAN/Irwan Majid
KOTA BHARU - Juara bertahan,
Kelantan berdepan laluan sukar di Selayang pada 31 Mei ini selepas diikat
Felda United 3-3 dalam saingan separuh akhir pertama Piala FA di Stadium
Muhammad IV, semalam.
Beraksi di hadapan kira-kira
20,000 penyokong setia, tuan rumah bermula perlahan berbanding pelawat yang
dilihat lebih banyak menguasai permainan dan mengatur serangan demi serangan.
Kelantan yang mendapat sentuhan
jurulatih baharu, George Boateng bolos seawal minit ke-17 apabila Edward Junior
yang tidak dikawal sesiapa di kawasan kotak penalti menyambut hantaran Zah
Rahan Krangar sebelum menolak mudah bola masuk ke dalam gawang.
Kerapuhan benteng pertahanan
tuan rumah dihukum sekali lagi enam minit kemudian apabila tandukan Indra Putra
Mahyuddin berjaya mengelirukan Khairul Fahmi Che Mat, sekali gus menghadiahkan
gol kedua Felda United.
Indra Putra sekali lagi menjadi
duri dalam daging kepada Kelantan selepas tendangan percuma yang dilakukannya
dari sebelah kanan padang dimanfatkan sebaik mungkin Mohd. Khairul Ismail untuk
menjaringkan gol ketiga The Settlers pada minit ke-36.
Tersentak dengan tiga jaringan
awal pelawat, Kelantan memperkemaskan permainan dengan melakukan asakan bertali
arus bagi memecah keampuhan benteng Felda United.
Gol yang ditunggu-tunggu tuan
rumah akhirnya hadir pada minit ke-41 menerusi tonggak import, Francis Forkey
Doe yang bijak memanfaatkan peluang tidak dikawal sesiapa untuk melakukan
rembatan kencang tepat ke pintu gawang.
Selang dua minit, The Red
Warriors meledak gol kedua selepas bola yang berpunca daripada tendangan
percuma oleh Zairul Fitree ditanduk masuk Fakri Saarani, sekali gus menewaskan
penjaga gol pelawat, Mohd. Farizal.
Sebaik sahaja babak kedua
bermula, tuan rumah terus garang mengkucar-kacirkan pertahanan Felda United dan
akhirnya berjaya mencari gol penyamaan pada minit ke-51 menerusi rembatan Wan
Zaharulnizam Zakaria, hasil hantaran lambung daripada Forkey Doe yang
mengelirukan pihak lawan.
Pada minit ke-89, Indra Putra
yang telah pun berjaya menewaskan Khairul Fahmi hampir meledakkan jaringan
keempat untuk The Settlers, namun Nik Shahrul Azim meluru pantas menyelamatkan
gawang yang ternganga luas dengan menyepak bola keluar.
RUJUKAN-
Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140507/su_02/Red-Warriors-pilih-laluan-berduri#ixzz30z9aBpMp
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan :
Catat Ulasan