Sabtu, 17 Mei 2014

Selangor makin kukuh di puncak liga

KUALA LUMPUR - Selangor terus mengukuhkan kedudukan di persada Liga Super selepas meraih kemenangan tipis 1-0 ke atas Sime Darby di Stadium Shah Alam hasil sepakan penalti penyerang dari Brazil, Paulo Rangel pada minit ke-38.

Selangor memperoleh sepakan penalti itu selepas sayap kanannya, Andik Vermansah dijatuhkan oleh Yosri Dermaraju.

Kemenangan itu membolehkan skuad Red Giants melebarkan jurang mata kepada lima ke atas pencabar terdekat, Pahang yang sekadar meraih keputusan seri 2-2 ketika berdepan JDT kelmarin.

Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Terengganu tidak mensia-siakan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri apabila menjinakkan pasukan dari seberang tambak, Lions XII 2-1.

Mereka bagaimanapun dikejutkan dengan jaringan pendahuluan pelawat seawal minit ketujuh apabila Mohd. Khairul Amri menanduk masuk hantaran lintang pemain pertahanan, Muhd. Shakir Hamzah.

Tersentak dengan jaringan itu, Terengganu memperkemaskan jentera serangan dan memperoleh gol penyamaan menerusi tandukan pemain kelahiran Colombia, Andres Estupinan empat minit kemudian.

Tuan rumah terus mengukuhkan kedudukan apabila Zairo Anuar Zailani menyempurnakan tendangan penalti selepas Estupinan dijatuhkan oleh penjaga gol pelawat, Mohd. Izwan Mahbud pada minit ke-67.

ATM pula keluar daripada zon penyingkiran apabila menang 2-1 ke atas T-Team di Stadium Selayang untuk ber­ada di anak tangga ke-10 liga.

Walaupun pemain dari Indonesia, Patrich Wanggai meletakkan T-Team di hadapan pada minit ke-13, penyerang import yang menggantikan Marlon Alex James, Fabrice Noel menjadi wira The Gladiators dengan dua jaringan pada minit ke-21 dan 34.

Kelantan terus cemerlang di bawah sentuhan George Boateng apabila menang 2-1 ke atas Perak di Stadium Sultan Muhammad IV hasil jaringan Mohamed Shawky pada minit kelima dan Mohd. Khairul Izuan Rosli pada minit ke-77 sementara jaringan tunggal Perak disumbangkan Mohd. Norhakim Isa, minit ke-83.

Dalam aksi tunggal Liga Perdana, Johor Darul Ta’zim (JDT) II dan DRB-Hicom FC sekadar terikat 1-1 di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang dengan gol disumbangkan Braulio Nobrega Rodriguez pada minit ke-27 namun dapat disamakan oleh Ogunboye Iyanu Ezekiel di minit ke-38.
RUJUKAN-
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140518/su_06/Selangor-makin-kukuh-di-puncak-liga#ixzz321D1qXXO
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan :

Catat Ulasan