Jumaat, 23 Mei 2014

TRW tagih penyerang tempatan

MAZRAM IDZAM RIDZAL MAHMUD
23 Mei 2014
Mohd Badhri (kiri) menjalani latihan bersama rakan sepasukannya di Stadium Sultan Muhammad IV bagi persiapan bertemu T-Team di Kuala Terengganu, malam esok. Foto oleh KHIRU SHALEH ABDULLAH
Mohd Badhri (kiri) menjalani latihan bersama rakan sepasukannya di Stadium Sultan Muhammad IV bagi persiapan bertemu T-Team di Kuala Terengganu, malam esok. Foto oleh KHIRU SHALEH ABDULLAH Mohd Badhri (kiri) menjalani latihan bersama rakan sepasukannya di Stadium Sultan Muhammad IV bagi persiapan bertemu T-Team di Kuala Terengganu, malam esok. Foto oleh KHIRU SHALEH ABDULLAH

"TANPA penyerang import sekali pun itu bukan masalah buat kami." Itu kata Ketua Pasukan The Red Warriors (TRW), Mohd Badhri Radzi menjelang pertemuan menentang T-Team pada saingan Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, malam esok.

 Ada kemungkinan buat Kelantan untuk merehatkan Francis Forkey Doe dan Prince Tagoe, sekali lagi atas faktor gagal mencapai tahap kecergasan namun, Mohd Badhri tidak melihat ketiadaan dua awang import itu memberi kesan prestasi pasukannya.

 Sebaliknya, Mohd Badhri atau dikenali Piya, yakin kemampuan jentera penggempur tempatan diterajui Mohd Khairul Izuan Rosli yang dilihat semakin berbisa sejak kebelakangan ini, mampu menghadirkan keputusan positif apabila berdepan skuad kendalian Mohd Azraai Khor Abdullah itu.

 “Saya tidak pasti sama ada jurulatih (George Boateng) ada perancangan menurunkan dua penyerang import, Forkey Doe dan Tagoe tetapi tanpa mereka sekalipun, kami tiada masalah berdepan  T-Team.

 “Tambahan pula, Ahmad Fakri Saarani dan Ahmad Shakir Md Ali semakin pulih daripada kecederaan, dan kehadiran mereka pasti memberi banyak pilihan buat jurulatih mencongak strategi jentera serangan pasukan kami,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

 Perancang tengah Kelantan itu berkata, dia tetap menagih sumbangan penyerang kelahiran Liberia dan Ghana itu jika kedua-duanya dalam pengendali baharu pasukannya pada pertemuan tersebut.

 Mengenai sasaran Kelantan berkunjung ke Kuala Terengganu, Mohd Badhri memberitahu, pasukannya mahu mengekalkan momentum kemenangan dengan meraih tiga mata, namun sedar ia bukan satu tugas mudah selepas berjaya mengalahkan Perak di tempat sendiri minggu lalu.

 “Menang 3-0 (pusingan pertama) tidak bermakna kami boleh kalahkan T-Team sekali lagi, lebih-lebih lagi kena bermain di tempat mereka.

"Sejak dua musim lalu, Kelantan sentiasa bermasalah mengalahkan mereka, kalau kami menang pun hanya dengan jaringan tipis,” katanya.

 Malah jeneral padang berusia 32 tahun itu mengakui,The Titans yang kecundang 1-2 kepada Angkatan Tentera Malaysia dalam perlawanan lalu, pasti bermotivasi tinggi.

 “Kami tetap menghormati T-Team dan tidak memandang rendah kemampuan mereka.

"Saya sedar mereka bergelut keluar dari zon penyingkiran dan kemenangan ke atas Kelantan cukup penting buat mereka kekal dalam saingan Liga Super depan,” katanya.

RUJUKAN-SINAR HARIAN ONLINE 23.5.14 

Tiada ulasan :

Catat Ulasan