Ahad, 30 April 2017

Wan Hashim dakwa pemain punca Kelantan jatuh merudum

ARKIB : 08/11/2004
BEKAS presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Datuk Wan Hashim Wan Daud semalam mendedahkan tahap disiplin dan moral yang rendah di kalangan pemain adalah punca Kelantan jatuh pada saingan Liga Malaysia sejak beberapa musim ini.
Beliau berkata, ada beberapa pemain suka berfoya-foya dan `kaki disko' dengan sering mengunjungi kelab-kelab malam di Selatan Thailand sehingga gagal menyinar di padang.
``Ingin saya dedahkan disiplin pemain amat rendah, hanya beberapa kerat sahaja yang menunjukkan disiplin tinggi tetapi tidak yang lain,'' katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung KAFA Ke-51 di Kota Baharu, semalam.
Wan Hashim melepaskan jawatan yang dipegangnya selama 12 tahun kepada seorang ahli perniagaan, Ahmad Jazlan Yaakub dalam pemilihan semalam.
Kepimpinan Wan Hashim mendapat kecaman ramai dan kemuncaknya ketika Kelantan terpaksa ``turun pangkat'' dan bersaing dalam kancah Liga FAM musim depan kerana mempamer aksi paling merosot dalam saingan Liga Perdana tahun ini.
Kekalutan KAFA itu diburukkan lagi apabila gagal mengadakan mesyuarat agung sejak empat tahun lalu menyebabkan beberapa gabungan persatuan itu menghantar memorandum mendesak supaya mesyuarat diadakan segera.
Selain itu, Kelantan juga menghadapi masalah kewangan yang kritikal dan menghadapi hutang tertunggak yang dianggarkan lebih RM2 juta membabitkan gaji, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja serta hutang stadium.
Dalam ucapannya Wan Hashim meluahkan rasa terbuku hatinya selama ini dengan meletakkan segala kepincangan terbabit kepada pemain, pengurusan, kerajaan negeri dan swasta yang dikatakan tidak pernah membantu membangunkan KAFA.
Beliau berkata, akibat faktor kelulusan akademik para pemain yang rata-ratanya rendah menyebabkan moral mereka turut rendah dan hanya memandang wang semata-mata.
``Bila dapat wang mereka jadi lupa segala-galanya dan sebab itulah mereka gagal jadi pemain profesional,'' katanya.
Bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan itu turut mendedahkan ada pihak atasan, termasuk yang menguruskan pasukan utama Kelantan dan tiga kelab yang sama-sama bersaing pada Liga Perdana, menggalakkan para pemain bergaduh di padang.
``Semua pasukan dalam gabungan KAFA ini terlibat, ditambah pula sikap pemain kita yang panas baran dan inilah yang menjadi punca Kelantan sering bergaduh ketika bermain,'' katanya.
Menurutnya tahun ini sahaja KAFA terpaksa membayar denda sebanyak RM50,000 kepada Persatuan Bolasepak Malaysia gara-gara pemain menimbulkan kekecohan sedemikian.
Selain itu beliau juga kesal kerana Kelantan tidak mempunyai stadium yang mencukupi bagi menampung latihan dan perlawanan beberapa pasukan dari Kelantan itu. Selain pasukan Kelantan, tiga buah kelab yang sama-sama gagal menyinar pada saingan Liga Perdana ialah TNB Kelantan, JPS dan SKMK.
``Sepatutnya Kelantan sudah mempunyai sekurang-kurangnya dua buah stadium lagi dan bukannya kita menjadi pengemis untuk menggunakan stadium yang ada sekarang,'' katanya.
Beliau juga kecewa kerana kerajaan negeri dan pihak swasta tidak pernah membantu KAFA daripada segi penajaan dan kewangan sehingga KAFA kini menghadapi masalah hutang yang tinggi.
Sementara itu, presiden baru KAFA Ahmad Jazlan yakin masalah disiplin pemain akan dapat diatasi dengan beberapa pendekatan baru yang akan diambil olehnya tidak lama lagi.
Menurutnya beliau akan cuba mengatasi masalah hutang tertunggak itu dan akan mengadakan pertemuan dengan FAM tidak lama lagi bagi membincangkan perkara tersebut.
``Antara misi saya ialah mengembalikan sinar kegemilangan Kelantan pada musim depan dan saya minta semua pihak kembali bertaut dengan buang yang keruh dan ambil yang jernih,'' katanya.
Pada mesyuarat itu, beberapa muka baru turut dilantik memegang jawatan penting iaitu Timbalan Presiden Azman Ibrahim manakala jawatan Naib Presiden kini disandang Zahari Kechik, Afandi Hamzah dan Rosmadi Ismail. - Bernama

Tiada ulasan :

Catat Ulasan