Jumaat, 2 Jun 2017

Kelantan, Shahzan Muda ke Liga Perdana



ARKIB : 22/08/2005
KUALA LUMPUR - Kelantan dan Kelab Shahzan Muda berjaya mendapat kenaikan ke Liga Perdana untuk musim depan selepas menang pada peringkat separuh akhir bola sepak Piala FAM, semalam.

Kedua-dua pasukan itu tidak berdepan masalah menyingkirkan lawan masing-masing dengan Kelantan mengalahkan Tentera 2-0 di Stadium TLDM, Lumut di Perak untuk menang dengan agregat 6-0 manakala Shahzan Muda mengalahkan Proton Selangor 3-0 dan 4-0 dari segi di Stadium UiTM di Shah Alam.

``Kami begitu tertekan tahun ini kerana bermain dalam Piala FAM bermakna kami tidak dapat banyak bayaran tiket.

``Dengan kenaikan ke Liga Perdana tahun depan, kami berharap pendapatan daripada tiket akan meningkat,'' kata penolong pengurus pasukan Kelantan, Azman Ibrahim.

Ketika pasukan negeri, Kelantan berjaya keluar daripada pertandingan rendah Piala FAM selepas setahun, lain pula ceritanya dengan kelab Shahzan Muda yang buat kali pertama beraksi dalam pertandingan itu tahun ini.

Pengambilalihan mereka ke atas pasukan Kuantan Port telah memberikan jurulatih, Tajuddin Nor peluang untuk mengasah bakat-bakat muda dan mendapat kenaikan ke Liga Perdana adalah umpama mimpi jadi nyata buat mereka.

``Kami hanya mempunyai masa enam atau tujuh bulan untuk membentuk pasukan ini tetapi pemain-pemain telah banyak belajar sepanjang tempoh itu.

``Kenaikan ini adalah satu bonus dan saya berkeyakinan tinggi mengenai peluang kami dalam perlawanan akhir menentang Kelantan untuk menentukan juara Piala FAM,'' kata Tajuddin.

Perlawanan akhir Piala FAM dijadualkan berlangsung pada 3 September dengan Kelantan telah menyatakan kesediaan untuk menjadi tuan rumah di Kota Bharu.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0822&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4iryx9lky
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan :

Catat Ulasan