ARKIB : 12/03/1998
AMARAN keras dan kata dua pengurus pasukan Kelantan, Suhaidi Yusof pada
masa rehat memberikan perubahan kepada skuad Kijang sehingga membawa kemenangan
ketika menentang Terengganu di Kota Bharu, kelmarin.
ISMAIL MUHAMAD melaporkan, Suhaidi ternyata
berang dan meluahkan rasa tidak puas hati dengan corak persembahan anak buah
pada separuh masa pertama dalam perlawanan itu.
Di bilik persalinan semasa rehat perlawanan, Suhaidi menegaskan kepada
pemain, beliau akan meletakkan jawatan selaku pengurus pasukan sekiranya
Kelantan tumpas di tangan Terengganu, malam itu.
''Saya betul-betul serius, saya tidak tahu di mana silapnya sikap sambil
lewa pemain dalam separuh masa pertama perlawanan itu dan saya terus mengambil
keputusan nekad untuk meletakkan jawatan sekiranya Kijang kecundang di
gelanggang sendiri,'' ujarnya.
Bagaimanapun, beliau menarik balik keputusan itu setelah pemain membuktikan
komitmen sebenar sehingga mampu mengatasi Terengganu 3-2 walaupun ketinggalan
0-2 pada babak pertama.
Suhaidi mengakui persembahan tempang Mario Gomez yang masih kesakitan di
tumit kaki kirinya dan terpaksa dikeluarkan.
Menurutnya, Mario diturunkan setelah pemain itu berkali-kali merayu agar
diturunkan bagi merayakan kelahiran anak pertamanya (lelaki) pada sebelah pagi
hari perlawanan itu.
''Kemenangan ini juga saya hadiahkan untuk Mario Gomez sebagai hadiah hari
kelahiran cahaya matanya yang pertama,'' ujar Suhaidi.
Ketiadaan Adamu Tigana dalam dua perlawanan selepas ini tidak begitu
membimbangkan skuad Kijang dengan adanya pemain-pemain di barisan tengah yang
boleh mengambil alih tempatnya.
Suhaidi menghargai sumbangan Tigana bagaimanapun terkilan pemain itu
diperintah keluar padang pada minit ke-79 selepas memungut dua kad kuning di
perlawanan itu.
Sementara itu, jurulatih skuad Terengganu, Abdul Rahman Ibrahim menyifatkan
satu keajaiban dilakukan oleh pemain skuad Kelantan pada separuh masa kedua.
Beliau turut terkejut dengan semangat berjuang pemain skuad Kijang sehingga
mampu memporak-perandakan benteng pertahanan Terengganu dan melumpuhkan kedua
penjaga gol Tay Sin Kiat dan Zubir Ibrahim.
Beliau menyifatkan ketewasan Terengganu akibat kelemahan penjaga gol yang
hilang arah pada babak separuh masa kedua.
Tay Sin Kiat yang diturunkan selaku penjaga gol utama skuad penyu terpaksa
dikeluarkan selepas melepaskan dua jaringan pasukan tuan rumah dan
penggantinya, Zubir Ibrahim mengulangi kesilapan Tay Sin Kiat untuk Kelantan
memperolehi tiga mata penuh perlawanan itu.
''Penjaga gol kami sangat lemah, tidak mempunyai keupayaan dan gugup
sehingga Terengganu menemui padah walaupun mendahuli 2-0 pada babak pertama,''
ujar Abdul Rahman ketika ditemui sebaik sahaja selesai perlawanan itu.
Abdul Rahman berkata, kedua penjaga gawang Terengganu perlu menjalani
latihan lebih intensif selepas ini dan membuat tabiat gugup dan hilang arah
apabila menghadapi tekanan pasukan lawan.
Tiada ulasan :
Catat Ulasan