Khamis, 31 Oktober 2019

Khalid yakin Kelantan bakal digeruni lawan


ARKIB : 08/10/2008
KUALA LUMPUR - Bekas penyerang kebangsaan, Khalid Jamlus berazam untuk merealisasikan hajat pasukan barunya, Kelantan untuk muncul sebagai pasukan yang digeruni dalam saingan bola sepak tempatan.

Menurut bekas pemain Perak itu, dia yakin Kelantan mampu mencapai sasaran untuk merangkul satu piala dalam saingan Liga Malaysia musim depan berdasarkan gabungan pemain yang terdiri daripada anak jati Kelantan, bintang muda serta pemain berpengalaman.

Katanya, misi pertama bersama Kelantan ialah membantu pasukan Kijang layak ke saingan Liga Super pada musim berikutnya.

''Saya optimis terhadap kemampuan Kelantan untuk muncul sebagai salah satu pasukan yang mampu mencabar pasukan elit dalam kancah bola sepak tempatan.

''Sebagai pemain profesional saya akan memberikan yang terbaik untuk pasukan yang saya wakili.

''Saya tidak kisah beraksi dalam Liga Perdana bersama Kelantan kerana ia tidak kurang hebatnya.

''Walaupun beraksi dalam Liga Perdana, Kelantan masih berpeluang menyaingi pasukan elit dalam kempen Piala Malaysia dan Piala FA,'' katanya, semalam.

Khalid antara pemain berpengalaman yang disandarkan harapan untuk membawa Kelantan muncul sebagai pasukan elit dalam saingan bola sepak tempatan.

Turut menarik minat Kelantan ialah rakan sepasukan Khalid di Perak, Ahmad Azlan Zainal dan pemain berpengalaman yang beraksi untuk Terengganu pada musim lalu, Che Hishamuddin Hassan.

Selain bintang veteran, skuad Kelantan turut menyambar bintang muda, Norfarhan Mohd. dan Daudsu Jamaluddin.

Pasukan Pantai Timur itu turut mendapatkan khidmat jurulatih dari England, Peter James Butler yang pernah melatih Sabah, pasukan Liga S di Singapura dan Liga Indonesia.

''Sebagai pemain profesional tidak salah saya berhijrah ke pasukan lain. Ini merupakan kali kedua saya berhijrah selepas bersama Selangor selama dua musim sebelum ini,'' ujarnya.

Mengenai prestasinya musim lalu, menurut Khalid, dia tetap berpuas hati ketika bersama Perak walaupun dibelenggu kecederaan di pertengahan musim.

''Saya hanya sempat beraksi dalam skuad utama di awal musim dan selepas itu terpaksa bergelut dengan masalah kecederaan.

''Setelah pulih agak sukar untuk saya kembali ke dalam pasukan namun masih berupaya menjaringkan 23 gol.

''Pengalaman beraksi di pentas antarabangsa bersama pasukan kebangsaan akan saya curahkan untuk membantu Kelantan mencapai cita-cita menjadi pasukan yang dihormati,'' tambahnya.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1008&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz50rmzvJAX
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan :

Catat Ulasan