PEMAIN dari Argentina, Mario Gomez dan Luis Puzutto
mengubat hati pengurus Kelantan, Suhaidi Yusof setelah kedua-duanya menyertai
latihan dalam skuad Kijang, kelmarin, MOHD.
NOOR ISMAIL melaporkan.
Kedua-duanya masih mendapat kepercayaan dari Persatuan
Bola Sepak Kelantan untuk menghadapi Liga Perdana 1998 bagi tempuh setahun ini.
Mario selaku perancang di barisan tengah manakala Luis
berpasangan dengan Hashim Mustapha di barisan hadapan akan diuji dalam
perlawanan menentang skuad pilihan Afrika di Stadium Sultan Muhamad Keempat
Kota Bharu, malam ini.
Suhaidi sukar meramalkan kelibat barisan hadapan
Kelantan yang baru dipadukan antara Hashim, Luiz Puzutto dan Wan Rohaimi Wan
Ismail memandangkan ketiga-tiga diketemukan kelmarin.
Hashim, bekas penyerang Kedah yang baru kembali ke
lubuk asalnya perlu membuktikan kemampuannya beraksi bersama pemain-pemain muda
Kelantan yang lain termasuk Robik Ismail, Badrisham Kadir, Alif Rohaimi
Azizhan, Tuan Rosli Shaari dan Sarudy Aziz.
Bagi Mario Gomez tugasnya lebih mudah memandangkan
gandingan di barisan tengah masih bersama Tuan Kamree Tuan Yahya dan Mohd.
Nazaruddin Mat Zain.
Kelantan masih tidak mempunyai tenaga import untuk
membantu Zahasmi Ismail di barisan pertahanan yang turut didokong oleh Mohd.
Saifulnizam Hussin, Azhar Aziz dan Zulkifli Abdullah.
Suhaidi menjelaskan, latihan sejak dua hari lalu di
padang batalion ke-12 Pasukan Polis Hutan, Pengkalan Chepa sebagai memperkemaskan
barisan pemain bagi menghadapi pemain muda pilihan Afrika.
Skuad Kelantan kini di bawah pengendalian Kamaruddin
Mohd. Noor yang diberi peranan utama selaku jurulatih baru skuad Kijang yang
dibantu Hamid Ramli.
Katanya, Kamaruddin dipilih mengemudi skuad Kelantan
musim ini dan perlawanan malam ini tidak seharusnya dijadikan ukuran di atas
kemampuan sebenar jurulatih itu.
Katanya, tidak sukar bagi skuad pelatih Kelantan
menghadapi 'skuad permata hitam' dari Afrika memandangkan dua perlawanan ujian
sebelum ini menentang skuad pilihan Ghana mungkin mendedahkan keupayaan yang
hampir sama.
Menurutnya, kemungkinan beberapa pemain dari Sabah dan
Kuala Lumpur turut diuji malam ini sekiranya mereka berhasrat untuk turut
selaku calon pilihan Kelantan dalam menghadapi kempen Liga Perdana musim ini.
Tiada ulasan :
Catat Ulasan