Ahad, 11 September 2016

Halim Napi turun lawan skuad Jengking

ARKIB : 16/06/1998
Halim Napi turun lawan skuad Jengking
BEKAS penjaga gol kebangsaan dan Kelantan, Halim Napi, 27, dijangka menyarung semula jersi Kelantan dalam pertandingan pusingan kedua Liga Perdana Dua apabila pasukan itu bertemu Johor FC di Johor Bahru, 19 Jun ini.

Bagaimanapun, jurulatih Kelantan Kamaruddin Mohd Noor berkata, Halim terpaksa menurunkan berat badannya, jika berhasrat dipilih.

''Dia kini sedang berlatih bersama pemain lain dalam skuad Kijang. Dia juga melakukan latihan sendiri bagi mengurangkan berat badan,'' katanya ketika dihubungi di Kota Bharu, semalam.

Halim pernah digantung seumur hidup oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berikutan insiden hitam ketika Kelantan bertemu Perak tahun lepas.

Bagaimanapun hukuman itu dipendekkan menjadi setahun dan baru-baru ini FAM mengurangkan lagi hukuman itu kepada dua setengah bulan yang tempohnya tamat pada 31 Mei lepas.

Kamaruddin berkata, jika Halim gagal menurunkan berat badannya sebelum perlawanan itu beliau mungkin tidak akan disenaraikan untuk perlawanan tersebut.

''Walaupun Kelantan ketika ini menduduki tangga ke empat Liga Perdana Dua, kami yakin dapat memperbaiki kedudukan itu dan layak bertanding dalam Piala Malaysia musim ini,'' kata beliau.

Beliau mahu setiap pemain menunjukkan aksi sebenar dalam pertemuan dengan Johor FC dan memenangi perlawanan itu bagi menyuntik semangat mengharungi baki perlawanan seterusnya.

Kamaruddin berkata, kemenangan sulung dalam pusingan kedua itu boleh mengubah kedudukan dalam liga dan juga mencerahkan harapan untuk ke Piala Malaysia.

''Kita yakin, Kelantan dengan semangat juang yang tinggi di kalangan pemain boleh mencapai hasrat ini,'' katanya. - Bernama

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0616&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_07.htm#ixzz4Jvzo7eX1 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan :

Catat Ulasan