Khamis, 15 September 2016

Qayyum mahu pastikan gawang Kelantan tidak bocor

WARTAWAN SINAR HARIAN
16 SEPTEMBER 2016
 Qayyum mahu pastikan gawang Kelantan tidak bocor
Qayyum mahu pastikan gawang Kelantan tidak bocor Mohd Qayyum (kiri) mahu pastikan pintu gol Kelantan tidak dibolosi apabila bertemu PDRM dalam aksi suku akhir kedua kempen Piala Malaysia di Stadium Hang Jebat, Melaka, malam esok.
PEMAIN pertahanan Kelantan, Mohd Qayyum Marjoni Sabil bertekad mahu memastikan gawang pasukannya tidak dibolosi apabila berdepan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam saingan suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Hang Jebat, Melaka, malam esok, lapor MAZRAM IDZAM RIDZAL MAHMUD.

Mohd Qayyum berkata, rakan sepasukannya terutama di benteng pertahanan perlu bekerja lebih keras mengekang asakan penyerang The Cops yang sudah pasti kian bersemangat untuk menambah jaringan di laman sendiri.

“Kami tidak boleh biarkan pintu gol ditembusi kerana jika itu berlaku, saya rasa Kelantan akan tertekan untuk mencari kemenangan kerana wajib menjaringkan sekurang-kurangnya tiga gol di tempat lawan.

“Apa yang berlaku di Kota Bharu (suku akhir pertama) memperlihatkan bagaimana kami memberi ruang sehingga membenarkan PDRM mendapatkan dua gol awal dan saya harap ia tidak berulang lagi malam esok,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

PDRM menewaskan Kelantan 2-1 pada suku akhir pertama di Kota Bharu, 28 Ogos lalu, menerusi jaringan Muhamad Safuwan Baharudin dan Guilherme De Paula manakala gol tunggal tuan rumah disumbangkan Indra Putra Mahayuddin.

Justeru, bek kiri berusia 22 tahun itu menuntut rakan-rakannya lebih fokus dan tidak melakukan sebarang kesilapan yang mungkin memberi padah buat skuad Pamoga Qu Puteh The Red Warriors dalam mengharungi baki 90 minit aksi timbal balik itu.

“Jurulatih (Velizar Popov) juga telah beri pesanan kepada semua pemain agar tidak hilang konsentrasi walaupun sesaat. Saya percaya rakan-rakan faham apa yang perlu mereka lakukan apabila masuk ke padang nanti,” katanya.

Menurutnya, sekalipun PDRM turun tanpa K Reuben Thayaparan dan De Paula yang digantung permainan, namun dia tidak menganggap ia satu tugas mudah buat pasukannya untuk memadamkan defisit jaringan pada pertemuan tersebut.

“PDRM masih memiliki ramai pemain yang hebat seperti kapten mereka, Muhamad Safuwan dan Mohd Fakrul Aiman (Sidid) yang mungkin boleh menjadi pemusnah buat Kelantan untuk mencipta kejutan di sana malam esok,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Qayyum memberitahu, walaupun Kelantan ketinggalan dari segi agregat semasa, dia optimis pasukannya mampu melangkah ke separuh akhir pada pertandingan piala paling berprestij itu.

“Saya sentiasa yakin (layak ke separuh akhir) malah berjanji bersama rakan-rakan untuk berjuang habis-habisan kerana sedar hanya tinggal Piala Malaysia untuk Kelantan merangkul kejuaraan tunggal pada musim ini,” katanya.

SUMBER-SINAR HARIAN OMLINE  16 SEPTEMBER 2016

Tiada ulasan :

Catat Ulasan