Rabu, 14 September 2016

Kelantan tak mahu seri bertemu N. Sembilan

ARKIB : 08/08/1998
KELANTAN beraksi menentang Negeri Sembilan dalam perlawanan play-off merebut tempat ke Piala Malaysia di Stadium Paroi, malam ini dengan berbekal keazaman mahu menang dan bukan sekadar seri.

SAROJI MOKHTAR melaporkan, kejayaan menumpaskan Terengganu 3-2 sebelum layak beraksi di peringkat play-off baru-baru ini telah menguatkan lagi semangat dan keazaman pemain-pemain yang semuanya sudah bersiap sedia.

Rekod tanpa kalah sewaktu bertandang di tempat lawan musim Liga Perdana Dua, satu lagi faktor menambahkan semangat kesebelasan utama pemain.

Daripada 14 perlawanan musim Liga Perdana Dua, Kelantan memenangi tujuh perlawanan di tempat lawan dan daripada jumlah itu lima menang dan dua seri. Ini satu kebanggaan kerana biasanya di gelanggang lawan mudah tewas.

Demikian ditegaskan oleh pengurus pasukan Kelantan, Suhaidi Yusuff ketika diminta mengulas berhubung pertemuan Kelantan dengan Negeri Sembilan malam ini.

Justeru itu, menurut beliau, anak-anak buahnya tidak merasa gementar dan bimbang walaupun berlawan di gelanggang lawan walaupun terpaksa berhadapan dengan pasukan dari Perdana Satu.

Beliau berkata, Kelantan akan terus menggunakan taktik menyerang tanpa melakukan banyak perubahan pada barisan pemain ketika bertandang ke Paroi, malam ini.

Bagaimanapun, beliau masih belum lagi pasti dengan kedudukan Mario Gomez yang cedera ketika ini.

''Sama ada dia dapat diturunkan beraksi di padang tergantung kepada ujian terlebih dahulu dan jika baik kita akan turunkan,'' ujarnya lagi.

Seorang lagi pemain, Akmal Ahmad Tabrani tidak dapat beraksi di padang kali ini kerana menerima kad merah ketika menentang Terengganu.

Bagaimanapun, beliau tidak perkecilkan kemampuan pasukan tuan rumah di bawah jurulatih M. Karathu yang pernah membimbing Kelantan pada 1995.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0808&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_08.htm#ixzz4KErOWieR © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan :

Catat Ulasan