Isnin, 12 September 2016

Kelantan, Johor FC menang

KELANTAN kekal di tangga kedua selepas menumpaskan NS Cempaka 2-0 dalam perlawanan bola sepak Perdana Dua di Stadium Sultan Muhammad Keempat Kota Bharu malam tadi.

Pemain tengah, Wong Kah Loon mengejutkan penjaga gol NS Cempaka, Yusri Abd. Aziz dengan tendangan jarak jauh untuk gol pertama Kelantan di minit ke-16.

Manakala Hashim Mustapha menambah gol kedua tuan rumah menerusi rembatannya di minit ke-20 selepas menerima umpanan Andrew Laban.

Kelantan nyaris menambah gol ketiga pada minit ke-46 tetapi sepakan penalti Hashim Mustapha terkena palang.

Biarpun Wong Kah Loon menyambar bola yang melatun dari palang dan menanduk masuk tetapi pengadil perlawanan, Abdul Rahim Ali membatalkan jaringan itu.

Perlawanan itu menyaksikan pemain pertahanan pasukan pelawat, A. Ravichandran diperintah keluar padang pada minit ke-74 setelah bertindak kasar ke atas Wong Kah Loon.

Kelantan buat pertama menurunkan penjaga gol Halim Napi menyaksikan kehebatannya menyelamatkan beberapa percubaan bahaya lawan.

Di Stadium Larkin, Johor FC mengutip mata penuh apabila menewaskan Melaka 2-0.

Gol pertama Johor dijaringkan oleh penyerang import, Aytek Genc sementara gol kedua oleh Anuar Mat Yusof pada masa kecederaan.

Gol Johor FC itu dijaringkan pada minit ke-73 hasil umpanan Mustaza Maah Mustafa. Sementara gol kedua pula dijaringkan oleh Anuar Mat Yusof melalui tandukan setelah berlaku keadaan kelam kabut di hadapan pintu gol Melaka.

Perlawanan yang banyak berkisar di tengah padang kurang memperlihatkan serangan-serangan yang berkesan daripada kedua-dua pasukan.

Johor FC mendapat peluang pertama pada minit ke-8 hasil gerakan Suhaimi Jamil kepada Anuar Mat Yusof yang gagal membuat tandukan kemas dan bola melepasi palang gol.

Melaka pula terlepas peluang pada minit ke-46 apabila tandukan Arfandy Lokman melepasi palang gol Melaka.

Sementara itu, Rosdee Sulong muncul hero apabila jaringan tunggalnya membantu Johor menang tipis 1-0 ke atas Terengganu dalam perlawanan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah. Gol tunggal Johor dicipta oleh bekas pemain kebangssan itu pada minit ke-16.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0711&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4K3SpelUa © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan :

Catat Ulasan