Piya optimis TRW
mara separuh akhir
MAZRAM IDZAM
RIDZAL MAHMUD
17 SEPTEMBER 2016
Piya Piya yakin
Kelantan mampu padam kelebihan PDRM
KAPTEN Kelantan,
Mohd Badhri Radzi optimis pasukannya mampu memadamkan kelebihan agregat
dimiliki Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam saingan suku akhir kedua kempen
Piala Malaysia di Stadium Hang Jebat, malam ini.
Mohd Badhri atau
lebih dikenali panggilan Piya berkata, keyakinan itu bersandarkan pengalaman
pasukannya yang berupaya bangkit mencipta kejutan meskipun berada dalam situasi
terdesak untuk meraih kemenangan pada pertemuan fasa kalah mati itu.
Menurutnya,
Kelantan sangat memerlukan jaringan awal dan sekiranya ia dapat direalisasikan
dalam babak pertama, dia yakin peluang wakil tunggal negeri pantai timur itu
untuk melangkah ke separuh akhir kembali cerah.
“Tak mustahil
Kelantan akan layak (ke separuh akhir) cuma kami kena guna peluang yang ada
nanti sebaik mungkin dan tidak melakukan sebarang kesilapan mudah apabila
berdepan PDRM malam esok (ini).
“Saya percaya
kami boleh melakukannya (kalahkan PDRM) kerana pasukan ini mempunyai ramai
pemain berkualiti. Kami hanya tidak bernasib baik apabila tewas menerusi dua gol awal di tempat sendiri,
bulan lalu,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Pada suku akhir
pertama di Kota Bharu, 28 Ogos lalu, The Red Warriors (TRW) tewas 1-2 kepada
PDRM menerusi jaringan Muhamad Safuwan Baharudin dan Guilherme de Paula
manakala gol tunggal tuan rumah disumbangkan Indra Putra Mahayuddin.
Perancang tengah
itu memberitahu, pasukannya perlu bijak mengambil peluang di sebalik persiapan
tempang skuad bimbingan Fauzi Pilus susulan penggantungan dua tonggak mereka, K
Reuben Thayaparan dan de Paula, pada pertemuan timbal balik itu.
“Saya sedar
ketiadaan dua pemain itu memberi kelebihan buat Kelantan tetapi dalam masa sama
saya masih bersikap realistik mengatakan PDRM bukan calang-calang pasukan dan
kami tidak akan memandang mudah pertemuan ini,” katanya.
Mengulas tekanan
ke atas pasukannya dalam menghadapi aksi suku kedua malam ini, jeneral padang
berusia 34 tahun itu tidak menolak perkara tersebut namun menegaskan betapa
skuad Velizar Popov sudah cukup bersedia untuk berdepan The Cops.
“Tekanan memang
ada lebih-lebih lagi berada dalam fasa seperti (kalah mati) ini tetapi kami
sentiasa positif dan tak kisah walaupun bermain di Hang Jebat (stadium), kubu
kuat pasukan lawan.
“Fokus kami
adalah mara ke separuh akhir, itu sahaja. Kami ada Kecik (Wan Zaharulnizam Wan
Zakaria), Wan Zack Haikal (Wan Noor) dan Indra Putra (Mahayuddin) yang boleh
memikul tanggungjawab menjaringkan gol untuk pasukan ini,” katanya.
SUMBER-SINAR
HARIAN ONLINE 17 SEPTEMBER 2016
Tiada ulasan :
Catat Ulasan