Jumaat, 16 September 2016

Kelantan sekat hajat Sarawak

GUIMARO (depan) rai gol Sarawak.
Petra Jaya: Misi mesti menang Sarawak gagal apabila sekadar seri 1-1 dengan Kelantan pada aksi Liga Super 2016 di Stadium Negeri, di sini, malam tadi.

Bermula garang awal babak pertama menyaksikan tuan rumah membuka tirai jaringan selepas 25 saat saingan bermula menerusi Junior Aparecido Guimaro.

Tersentak dengan jaringan itu, pelawat mula memperkemaskan benteng pertahanan daripada terus dibolosi.

Skuad bimbingan David Usop pula terus mengambil kesempatan beraksi di tempat sendiri dengan melancarkan serangan bertali arus tetapi beberapa percubaan mereka dipatahkan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat.

Bagaimanapun, kecemerlangan Guimaro tidak bertahan lama apabila terpaksa dikeluarkan pada minit ke-13 kerana kecederaan.

Dalam keghairahan skuad Bujang Senang memburu gol tambahan, pelawat pula menyamakan jaringan 1-1 pada minit ke-41.

Wan Zahrulnizam Wan Zakaria yang tidak dikawal mudah merembat masuk tandukan Indra Putra Mahayuddin yang melantun selepas terkena palang.

Bersambung babak kedua, Sarawak mula mengatur gerakan namun benteng The Red Warriors kental bertahan.

Minit ke-63 pula menyaksikan percubaan Blazhe Ilijoksi tersasar melepasi palang.

Berikutan keputusan seri itu, misi Sarawak untuk melepasi zon penyingkiran semakin sukar dan perlu kemenangan dalam baki perlawanan untuk membuka peluang agar kekal dalam kempen Liga Super musim depan.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 September 2016 @ 5:10 AM

Tiada ulasan :

Catat Ulasan