Bekas Presiden Kafa itu sahut
seruan PM bantu TRW
YATIMIN ABDULLAH | 07
Januari 2017 12:20 AM
ANNUAR MUSA (tengah) bersama
Ismail Md. Nor (kiri) dan Exco Kafa, Datuk Abdul Halim Hamad (kanan) dalam
sidang ahbar mengumumkan TRW kekal dalam Liga Malaysia di Kota Bharu, Kelantan,
semalam. UTUSAN/YATIMIN ABDULLAH
KOTA BHARU 6 Jan. - Bekas
Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan, Tan Sri Annuar Musa menyahut seruan
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya membantu pasukan itu untuk
kekal beraksi dalam Liga Malaysia (Liga M), musim depan.
Annuar melalui dua syarikat
yang diterajuinya iaitu Alhamra Group dan Red One akan menjadi penaja rasmi
kepada The Red Warriors (TRW) dengan menyediakan dana permulaan sebanyak RM6
juta untuk skuad tersebut.
Usaha Annuar itu sekaligus
memberikan kelegaan kepada Kafa yang sebelum ini mengadakan kongres luar biasa dan
memutuskan untuk menarik diri daripada saingan Liga M 2017.
Malah, bekas Menteri Belia dan
Sukan itu turut mengumumkan penubuhan sebuah konsortium yang diketuai oleh
kedua-dua buah syarikat tersebut mendapatkan dana dalam memastikan kedudukan
kewangan Kafa terus kukuh.
“Konsortium ini akan
menjalinkan kerjasama dengan beberapa buah syarikat lagi untuk mendapatkan
dana. Setakat ini sudah ada tiga syarikat yang bersedia bersama dengan
konsortium tersebut.
“Saya sasarkan untuk
mendapatkan tajaan berjumlah RM10 juta bagi memastikan TRW tidak berdepan
masalah kewangan di kemudian hari selepas ini,” katanya kepada pemberita dalam
sidang akhbar yang turut dihadiri Setiausaha Agung Kafa, Datuk Ismail Md. Nor
di sini, hari ini.
Sebelum ini, Najib menerusi
laman sosial Twitter meminta Annuar supaya membantu Kafa sambil meluahkan
kebimbangannya terhadap kemelut yang dihadapi persatuan bola sepak negeri.
Annuar memberitahu, sebagai
penaja utama, beliau akan membawa masuk pemain import bagi memperkuatkan
pasukan untuk mengharungi saingan Liga M itu nanti.
Katanya, pemain import yang
dibawa masuk itu akan dibayar sepenuhnya oleh beliau selaku penaja utama TRW.
“Saya sudah meneliti sepuluh
calon pemain import dan kita akan putuskan dalam masa terdekat. Saya juga akan
pastikan perlawanan pertama TRW dengan Melaka United, kita akan turun dengan
pemain import.
“Sebagai penaja utama saya juga
mahu TRW kembali menggunakan jersi keramat berwarna merah dan biru,” katanya.
Jelas Annuar, beliau tidak
berhasrat untuk kembali menjadi Presiden Kafa selepas melepaskan jawatan itu
pada 8 November lalu.
“Segala usaha yang dilakukan
saya hari ini adalah kerana mahu menyelamatkan TRW yang menjadi nadi rakyat
Kelantan,” ujarnya.
SUMBER-- See more at:
http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/annuar-penyelamat-kafa-1.428758#sthash.EDhw2GIc.dpuf
Tiada ulasan :
Catat Ulasan