Rabu, 4 Januari 2017

Talian hayat Kelantan

 
Mohamad Zulhairie Manzaidi
sukan@hmetro.com.my

Kota Bharu: Kerajaan negeri memberi bayangan sanggup untuk mengambil alih pengurusan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) dalam perbincangan empat mata antara mereka, kelmarin.

Namun, jawatankuasa tertinggi organisasi itu mendesak keputusan muktamad dibuat kerajaan negeri sebelum Khamis ini bagi menyelesaikan sebarang urusan bersangkutan.


Setiausaha Agung KAFA Datuk Ismail Md Noor (kiri) berkata, pihaknya maklum mengenai hasrat kerajaan negeri itu dalam pertemuan kelmarin dan perbincangan teliti dibuat termasuk mengenai kaedah penswastaan dicadangkan.

Cuma, keputusan lebih rasmi diperlukan segera bagi membolehkan pihaknya menyelesaikan elemen teknikal dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

“Pendaftaran pemain mesti dilakukan Jumaat ini bagi membolehkan Kelantan beraksi dalam perlawanan pertama selain mengikat tiga pemain import. Jika berlaku sebarang kelewatan dan kecuaian, KAFA akan dipersalahkan.

“Kaedah penswastaan ini juga harus diingat, tidak terlepas daripada peraturan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan FAM.

“Maka, perjanjian antara KAFA dengan kerajaan negeri perlu dimeterai secepat mungkin,” katanya.

Beliau bagaimanapun menegaskan, pengurusan semasa KAFA masih lagi bertanggungjawab secara mutlak sebagai pihak berkuasa dalam bola sepak Kelantan.

“Perkara itu (mengambil alih) tidak boleh dilaksanakan dengan sewenang-wenangnya disebabkan itu ia perlu dimuktamadkan secepat mungkin.

“Kita berada dalam saat kecemasan dan semua pihak mesti mengambil tanggungjawab dan tidak bertangguh lagi,” katanya.

Sumber-Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 January 2017 @ 8:05 AM

Tiada ulasan :

Catat Ulasan