Oleh MUHD. ARDIE PUTRA SUHAIMI
GHADDAR (tengah) menjaringkan
dua gol ketika membantu Kelantan menewaskan PKNS 3-1 di Stadium Shah Alam
semalam.
PENGENDALI Kelantan, Zahasmi
Ismail ‘lulus’ dengan cemerlang pada perlawanan kompetitif pertamanya apabila
menerajui pasukan tersebut mengutip tiga mata sulung penuh pada aksi Liga Super
selepas menundukkan PKNS FC 3-1 di Stadium Shah Alam semalam.
Sebagai rekod, pasukan gergasi
Pantai Timur itu terpaksa ‘berehat’ untuk memulakan kempen liga setelah aksi
pertama menentang Melaka United yang dijadualkan berlangsung di Stadium Sultan
Mohamad ke IV, Kota Bharu, minggu lepas ditangguhkan akibat faktor cuaca yang
tidak mengizinkan.
Bagaimanapun, situasi tersebut
tidak menghalang Zahasmi dan anak-anak buahnya mempamerkan magis tersendiri
untuk menundukkan pendatang baharu Liga Super itu di hadapan lebih 7,000
penonton di Shah Alam, semalam.
Menurut Zahasmi, dia mengakui
terkejut dan teruja melihat barisan pemainnya mampu menunjukkan persembahan
cemerlang dan meyakinkan untuk mengutip tiga mata penting di tempat lawan.
“Saya berpuas hati dengan
komitmen yang ditunjukkan oleh anak-anak buah saya yang sangat bekerja keras
untuk mencatat kemenangan pertama kami musim ini. Ia bukan semudah yang
disangka kerana PKNS FC merupakan pasukan yang cukup baik.
“Namun, kerjasama dalam
kalangan pemain menjadi kunci kejayaan kami pada perlawanan petang ini (semalam).
Selain itu, saya juga mahu memberi pujian kepada barisan serangan saya yang
berjaya menjaringkan tiga gol,” kata Zahasmi ketika ditemui selepas perlawanan
tersebut.
Zahasmi bangga dengan prestasi
tiga pemain import baharu skuad The Red Warriors iaitu Mamadou Danso, Margaro
Gomis, Alessandro Celin selain bekas penyerang berbisanya, Mohamad Ghaddar yang
meledak dua gol pada perlawanan tersebut.
“Meskipun mereka baharu sahaja
bersama pasukan tidak sampai tiga minggu, kesemua pemain telah menunjukkan
kualiti seperti yang diharapkan. Cuma, saya anggap persembahan ini belum
sempurna dan banyak lagi kelemahan yang perlu diperbaiki.
“Mengenai Ghaddar, saya anggap
dia masih lagi memiliki penyudah berbisa seperti dahulu. Namun, saya tidak mahu
memuji aksi individu kerana ini adalah kemenangan berpasukan dan saya mahu
kejayaan ini menjadi motivasi untuk kami berusaha lebih keras selepas ini,”
jelasnya lagi.
Selepas ini, Kelantan akan
membuat perhitungan getir apabila melayan kunjungan juara bertahan, Johor Darul
Ta’zim (JDT) di Kota Bharu minggu depan
Sumber-Artikel Penuh:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2017&dt=0128&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4X1a7tYQW
Hakcipta terpelihara
Tiada ulasan :
Catat Ulasan