Sabtu, 29 April 2017

Kelantan kecewakan N. Sembilan

ARKIB : 13/10/2004
KELANTAN mengetepikan pemenang tahun lalu Negeri Sembilan untuk muncul juara keseluruhan Karnival Integrasi Tunas Bola Sepak F&N/MSSM Peringkat Kebangsaan 2004 di padang Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Kelana Jaya, semalam.
Kejohanan dua hari yang mengetengahkan format empat sepasukan itu milik Kelantan apabila menjuarai kategori Bawah 11 Tahun dengan menewaskan Negeri Sembilan 4-2 dalam perlawanan akhir dan tempat ketiga Bawah 12 Tahun.
Negeri Sembilan terpaksa menyerahkan kejuaraan kepada Kelantan apabila sekadar muncul naib juara keseluruhan selepas mendapat tempat kedua Bawah 11 dan 12 Tahun.
Selangor pula menjuarai Bawah 10 tahun selepas menang 2-0 ke atas Kedah di final manakala Kuala Lumpur menjuarai bawah 12 tahun dengan menang 2-1 ke atas Negeri Sembilan.
Kedah turut cemerlang apabila menduduki tempat terbaik dalam setiap kategori iaitu naib juara Bawah 10 Tahun, tempat ketiga Bawah 11 Tahun dan keempat Bawah 12 Tahun.
Perlawanan paling mendebarkan ialah final Bawah 10 Tahun apabila Selangor menewaskan Kedah 2-0.
Kedah mempamerkan permainan skil individu yang tinggi namun Selangor memiliki pembidik tepat, Mohd. Nazmi yang menjaringkan gol pada setiap lima minit perlawanan.
Final Bawah 11 Tahun antara Kelantan dan Negeri Sembilan menyaksikan lebih banyak gol dijaringkan dengan kemenangan mutlak 4-2 memihak kepada negeri Pantai Timur.
Gol Kelantan dijaringkan oleh Shahrul Azwari (2 gol), Rozaimi Azwar dan Isa Abdullah. Negeri Sembilan membalas melalui Mohd Fazrul Radzi Mohd Ibrahim Shuaib.
Pertandingan dua hari itu disertai oleh 270 pelajar dari seluruh negara turut melibatkan penyertaan pelbagai kaum dalam setiap pasukan.
Karnival ini dilahirkan daripada program latihan kemahiran Sentuhan Pertama yang dimulakan oleh FAM enam tahun lalu dengan sokongan daripada program F&N Tunas Bola Sepak yang dianjurkan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia (MSSM).
Sebanyak 583 pusat latihan diasaskan sejak lima tahun ini dengan penyertaan 29,150 kanak-kanak.
Selain menjadi medan mencari bakat, karnival integrasi ini juga berfungsi sebagai medan memilih pemain bagi pasukan bawah 12 tahun negara yang menyertai Kejohanan Jemputan Antarabangsa Remaja Saitama, Jepun tahun depan.

Tiada ulasan :

Catat Ulasan