Isnin, 3 April 2017

Kelantan tumpu Piala Malaysia



ARKIB : 12/08/2003 
Oleh YULPISMAN ASLI

SETELAH gagal dalam saingan ke Liga Super musim depan, Kelantan kini menumpukan perhatian bagi mempersiapkan diri menghadapi Piala Malaysia.

Dalam saingan ke Liga Super, Kelantan terlepas peluang keemasan setelah dikalahkan oleh Johor FC menerusi sepakan penalti 2-4, walaupun telah berjaya mengikat kedudukan 1-1 pada perlawanan sebenar dan juga masa tambahan sudden death.

Begitu pun, undian saingan Piala Malaysia semalam menyaksikan skuad Kijang bakal berdepan laluan agak getir bila diundi dalam Kumpulan A bersama-sama pasukan pilihan Kedah, Pahang dan Johor.

Menyedari halangan yang bakal dihadapi oleh anak-anak buahnya tidak mudah, jurulatih Kelantan, Abdullah Mohamad berkata, masih banyak yang perlu dilakukan oleh Kelantan bagi menghadapi saingan Piala Malaysia 2003.

Begitu pun, beliau meletakkan keyakinan bahawa pemain Kelantan mampu melakukan sesuatu jika mereka mengekalkan corak permainan pantas dan bertenaga yang ditunjukkan ketika bertemu Johor FC dalam pertemuan kedua playoff Liga Super di Stadium Sultan Mohamed IV Kota Bharu, kelmarin.

Ini kerana, dengan hanya mendapat khidmat seorang pemain import berbanding dua pasukan lawan, Kelantan berjaya mengikat Johor FC sehingga ke tendangan penalti.

``Pemain-pemain mampu membuat peningkatan, tetapi kita akan berusaha dengan lebih keras lagi terutama untuk mempertajamkan barisan serangan yang ketika ini agak tumpul,'' katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, kelmarin.

Sesungguhnya, bagi peminat skuad Kijang, mereka sudah pasti ingin melihat kembali aksi-aksi cemerlang yang pernah dipamerkan oleh pasukan kesayangan mereka itu pada musim- musim sebelum ini, termasuk layak ke perlawanan separuh akhir pada 2001.

Ini kerana, hanya dengan kejayaan sahajalah maka peminat akan kembali memenuhi Stadium Sultan Mohamed IV yang `rindukan' keriuhan sorakan para penyokong Kelantan.

Tambahan pula, walaupun diwakili oleh empat pasukan dalam Liga Perdana Satu dan Dua, namun, hanya pasukan negeri sahaja yang mampu melangkah ke Piala Malaysia berbanding negeri seperti Johor, Selangor dan Melaka yang diwakili oleh lebih daripada sebuah pasukan.

Sedangkan pasukan seperti TNB Kelantan, SKMK Kelantan dan JPS Kelantan sekadar pencetus semangat tanpa sebarang kejayaan besar di peringkat liga.

Walau apapun, bagi peminat bola sepak tempatan, kehadiran wakil tunggal dalam saingan Piala Malaysia sedikit sebanyak sudah memberikan kepuasan.

Dalam hal ini, sudah pasti skuad Kijang memikul peranan dan tanggungjawab lebih besar untuk mengembalikan maruah mereka di kaca mata peminat sendiri khususnya dan di kalanga pasukan lain amnya.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0812&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4dCYnkm00
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan :

Catat Ulasan