Sabtu, 1 April 2017

Kelantan mungkin dipotong 6 mata



Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI

PASUKAN Kelantan bakal berdepan hukuman dipotong enam mata dalam Liga Malaysia (Liga M) jika Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) gagal memberi penjelasan dan menyelesaikan masalah berhubung tunggakan gaji pemain yang berlaku sejak tahun 2015.

Ketua Pegawai Eksekutif Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP), Kevin Ramalingam berkata, KAFA perlu mengambil serius mengenai isu tersebut memandangkan FMLLP telah menuntut penjelasan mereka sepanjang tempoh dua tahun lalu.

“Kita menolak dakwaan Penasihat KAFA, Tan Sri Annuar Musa yang menyifatkan skuad berpangkalan di Pantai Timur itu menjadi ‘mangsa keadaan’ kerana isu ini bukan melibatkan masalah tunggakan gaji bulan lepas tetapi pembayaran tertunggak bertahun-tahun sebelum ini.

“FMLLP juga sudah beri notis kepada KAFA untuk mendapatkan penjelasan sejak dua tahun lalu dan FMLLP akan bertindak mengumumkan bentuk hukuman kepada Kelantan esok (Isnin ini) memandangkan tempoh rayuan telah ditutup kelmarin,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad semalam.

Kevin menegaskan, FMLLP tidak ada sebarang kepentingan mahupun agenda untuk menjatuhkan mana-mana pasukan sebaliknya melihat perkara itu secara serius dari sudut profesional.

“Kepada penyokong-penyokong yang dihormati, apa yang kita minta adalah pemahaman daripada pihak penyokong kerana ini adalah satu isu yang perlu ditangani dengan serius.

“FMLLP tidak politikkan perkara ini, namun isu itu telah membelenggu bola sepak Malaysia. Sampai bila kita hendak biarkan? Jangan sampai Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mengenali bola sepak Malaysia disebabkan pasukan gagal melunaskan tunggakan gaji pemain,” ujarnya.

Musim ini, KAFA berdepan detik sukar apabila beberapa pemain utama The Red Warriors didakwa bersedia meninggalkan pasukan juara trebel 2012 itu pada jendela perpindahan Mei ini gara-gara isu gaji pemain yang gagal dilunaskan.

Presiden Persatuan Pemain Profesional Malaysia (PFAM), Hairuddin Omar memberikan sokongan penuh kepada FMLLP yang bersedia mengenakan hukuman berbentuk pemotongan mata ke atas pasu­kan Kelantan dalam Liga Super.

Bagaimanapun, Annuar menerusi entri dalam Facebooknya, Khamis lalu menggesa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) supaya tidak terburu-buru memotong mata terhadap pasukan Kelantan memandangkan langkah itu bukan jalan penyelesaian

sumberArtikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2017&dt=0402&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4d3gwlAED
Hakcipta terpelihara

Tiada ulasan :

Catat Ulasan