Sukan
Sabtu, 4 March 2017 | 11:32pm
Oleh Hasbullah Ibrahim
bhsukan@bh.com.my
PEMAIN Kelantan, Mohamad Ghaddar
(kiri) diasak pemain pasukan T-Team FC, Mohd Hasbullah Awang (kanan) dalam
perlawanan Liga Super 2017 di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu. - Foto
Syamsi Suhaimi
KOTA BHARU: Skuad Kelantan
menamatkan badi kekalahan dengan meraih tiga mata berharga di laman sendiri
apabila mencatat kemenangan 4-2 ke atas T-Team dalam aksi Liga Super di Stadium
Sultan Muhammad Ke IV, sebentar tadi.
Beraksi di hadapan 10,000
penyokong sendiri, skuad kendalian Zahasmi Ismail bermula dengan melancarkan
beberapa percubaan berbahaya menerusi jentera serangan yang diketuai Mohammad
Ghaddar.
Hasilnya, seawal minit keenam,
Ghaddar membuka jaringan selepas menerima hantaran lintang Fakhrul Zaman untuk
menewaskan penjaga gol pelawat, Mohd Suhaimi Husin.
T-Team yang jarang melakukan
asakan ke kubu tuan rumah turut memperoleh peluang untuk menyamakan kedudukan,
tetapi bola tendangan Farhod Tadjiev pada minit ke-14 dan tandukan Mahamadou
Samassa pada minit ke-16 sedikit tersasar.
Pada minit ke-40, penyerang
kelahiran Lubnan itu membuat larian solo dan melepasi empat pertahanan pelawat
tetapi sepakannya melepasi palang untuk keputusan kekal 1-0 pada akhir separuh
masa pertama.
Bersambung babak kedua, pelawat
pula terus melancarkan serangan bertali arus dan akhirnya gol penyamaan diraih
T-Team menerusi Mohd Nor Hakim hasil rembatan deras dari luar kawasan penalti
pada minit ke-46 yang menewaskan Mohd Ramadhan Abd Hamid.
Tersentak dengan jaringan
penyamaan pelawat itu, Zahasmi membuat dua pertukaran taktikal dengan
memasukkan penyerang Khairul Izuan Rosli dan Muhd Danial Ashraf Abdullah
menggantikan Zairul Fitree Ishak dan Fakhrul Zaman bagi mengimbangi kekuatan
lawan.
Pada minit ke-68, Ghaddar
menambah jaringan apabila menjaringkan gol kedua peribadinya buat skuad
Kelantan menerusi tandukan deras hasil hantaran lintang Indra Putra Mahayuddin.
Skuad kendalian Rachmat Darmawan
yang ketinggalan 2-1 berusaha mencari gol penyamaan namun Kelantan berjaya
menambah jaringan menerusi Khairul Izuan Rosli pada minit ke-75 yang membuat
rembatan deras.
Ghaddar menambah derita T-Team
dengan gol ketiga peribadinya pada minit ke-82 hasil rembatan leret menyudahkan
hantaran lintang Indra Putra Mahayuddin.
T-Team terpaksa akur menerima
kekalahan walaupun menambah gol kedua menerusi rembatan Farhod Tadjiev pada
minit ke-90.[1]
Tiada ulasan :
Catat Ulasan