Wednesday, December 28, 2011
Harian Metro
SELEPAS seri 1-1 perlawanan
pertama, semangat 22 pemain Kelantan yang dibawa ke Indonesia terus membara
bagi misi memburu kejuaraan Piala Unity menerusi aksi kedua menentang Persebaya
FC di Surabaya, Indonesia, pada jam 9 malam ini.
Skuad Red Warriors yang diketuai
pengurus pasukannya, Azman Ibrahim dan ketua jurulatih, Peter James Butler
disambut meriah peminat tuan rumah ketika tiba, petang semalam. Perlawanan di
Stadium Gelora 10 November itu akan disiarkan secara langsung di IndoPek Astro
Saluran Bintang 141.
Azman berkata, Kelantan akan
diperkuatkan dengan kehadiran tiga pemain import, Mohammed Ghaddar, Denny Antwi
dan Zacharia Charara selain gandingan pemain tempatan seperti penyerang
Norshahrul Idlan Talaha serta penjaga gol negeri dan kebangsaan, Khairul Fahmi
Che Mat.
“Keputusan seri di Kota Bharu
pada Jumaat lalu tidak melemahkan kami untuk bangkit pada perlawanan kedua
nanti. Pada perlawanan kali ini, kami akan menurunkan Khairul Fahmi selepas dia
tidak beraksi perlawanan pertama,” katanya ketika dihubungi.
Azman berkata, Kelantan akan
beraksi tanpa kelibat Azizi Mat Rose dan Nik Mohd Shahrul Azim Abdul Halim yang
menerima kad merah dan dua kad kuning selain pemain import, Emmanuel Okine yang
cedera.
Bagaimanapun, beliau yakin dengan
persiapan dilakukan Butler bagi menghadapi perlawanan kedua itu selepas beraksi
dengan sembilan pemain di Kota Bharu.
“Saya harap kombinasi tiga import
dan pemain muda serta berpengalaman mampu membolehkan kami menjuarai Piala
Unity,” katanya.
Sementara itu, Butler bukan saja
mengharapkan anak buahnya memenangi perlawanan itu tetapi memperoleh pengalaman
berguna sebelum bermulanya Liga M dan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC)
musim depan.
Katanya, semua pemain mendapat
rehat mencukupi sebelum bermulanya perlawanan malam ini dan mereka mampu
meningkatkan kualiti serta menitikberatkan aspek taktikal tinggi ketika beraksi
di padang.
Malah, menurutnya, sambutan
meriah diberikan pasukan tuan rumah juga menyuntik semangat anak buahnya untuk
beraksi sebaik mungkin.[i]
Tiada ulasan :
Catat Ulasan