Sabtu, 23 November 2019

Kekal rentak permainan – Norizan


Oleh MOHD. LUQMAN HAKIM AB. RAHIM
SKUAD muda Kelantan dituntut mengekalkan rentak permainan dalam memburu kemenangan ketiga, seterusnya memberi persaingan dalam saingan Liga Perdana musim ini.
Kelantan yang kini menduduki tangga keenam dalam liga akan menerima kunjungan Sabah dan jurulatihnya, Norizan Bakar berharap pemain-pemain muda terus mempamerkan aksi yang terbaik.
Kelmarin, Kelantan mula menunjukkan taringnya apabila berjaya menundukkan Melaka dengan 3-1 untuk meraih tiga mata penuh dalam saingan Liga Perdana di Stadium Sultan Mohd. ke-IV, Kota Bharu.
Bagi Norizan, beliau merasa bangga dengan persembahan yang ditunjukkan oleh anak didiknya yang melihat mutu permainan yang lebih baik berbanding pada perlawanan pertama dahulu.
Norizan menyifatkan kemenangan tersebut merupakan permulaan yang baik bermain di gelanggang sendiri dan ia merupakan hadiah tahun baru kepada peminat negeri Cik Siti Wan Kembang yang membanjiri stadium itu walaupun hujan.
“Sungguhpun menang, saya masih nampak lagi kelemahan yang boleh diperbaiki lagi
“Ada empat hari lagi menjelang perlawanan seterusnya dan masa yang ada ini akan digunakan sebaiknya untuk mempertajamkan skuad ini,” jelasnya .
Pada aksi kelmarin, tuan rumah berjaya membuka tirai gol seawal minit kesembilan menerusi tandukan cantik pemain import, Andrew Amakuro.
Bagaimanapun, kelebihan satu gol itu hanya bertahan selama tiga minit apabila Melaka berjaya bangkit untuk meyamakan kedudukan menerusi jaringan Amrie Abdullah.
Namun semangat juang skuad muda ini tidak luntur dengan pemburuan gol dan mereka berjaya mendahului semula pada minit ke-83 hasil jaringan Mohd. Nizad Ayub sebelum Mohd. Ramzul Zahini melengkapkan gol ketiga Kelantan pada minit-minit terakhir permainan.

Tiada ulasan :

Catat Ulasan