Rabu, 13 November 2019

Kelantan baham Ngap Sayot

 Oleh Muhd Amirul Faiz Ahmad | amifaiz@bh.com.my Cetak Emel Kawan
 Foto
PEMAIN Sarawak, Mohd Hairol cuba mengasak pemain import Kelantan, Francis Forkey Doe (kiri) pada saingan Liga Super di Stadium Negeri di sini malam tadi. - Foto BERNAMA

Kelekaan benteng Sarawak pertahan kubu pada minit akhir perlawanan undang padah

Petrajaya: Kelekaan Sarawak mempertahankan kubu pada minit akhir perlawanan mengundang padah apabila tewas kepada Kelantan 0-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Negeri, malam tadi.

Gol yang dijaringkan Francis Forkey Doe pada minit 90, menyentap semangat Sarawak selepas cemerlang mempertahankan gawang mereka sepanjang perlawanan berlangsung.


Kelekaan saat akhir benteng tuan rumah yang gagal menyekat hantaran lintang penyerang Kelantan, Mohamad Ghaddar, memakan diri selepas membiarkan Forkey Doe yang berseorangan dalam kotak penalti, mudah menolak masuk hantaran Ghaddar sekali gus melepasi jangkauan penjaga gol Ngap Sayot, Sani Annuar Kamsani.

Percaturan jurulatih Sarawak, Robert Albert, yang ingin mendapatkan gol menerusi 'set-piece' tidak menjadi apabila pemain sayap kiri Sarawak, Ashri Chuchu yang melakukan umpanan sempurna gagal disudahi Alireza Abasfard dan Gabor Gyepes.

Taktik mendapatkan jaringan menggunakan dua penyerang Sarawak itu hampir membuahkan hasil pada minit ke-42 selepas Alireza menghantar bola kepada Gabor yang kemudian melakukan penyudah cantik, tetapi gol dibatalkan kerana 'offside'.

Kedua-dua penyerang itu tampak berbahaya pada babak pertama berbanding gandingan penyerang lawan, Ghaddar dan Forkey Doe, yang sekadar mampu berlari di kawasan lawan tanpa berjaya memberi ancaman kepada pertahanan Sarawak yang dikemudi Ronny Harun.

Selepas babak kedua bersambung, kedua-dua pasukan menggandakan serangan.
Apa pun kelibat ayam tambatan Kelantan yang juga kapten pasukan, Mohd Badhri Radzi, yang melakukan umpanan bahaya kepada Ghaddar dan kemudian melorongkan kepada Forkey D0e membuahkan hasil sekali gus berjaya mengutip tiga mata.

Berita Harian online 26.1.14

Tiada ulasan :

Catat Ulasan