Jumaat, 13 Disember 2019

'Diam-diam tumbang lawan'


Simpan Artikel
MyMetroArena
 
Attirmidzie Rahman
sukanteam@nstp.com.my
PENGENDALI Kelantan, Sathit Bensoh, mahu skuad kendaliannya menjadi ‘pembunuh senyap’ dalam kempen Liga Super yang membuka tirainya, hari ini.

Bagi perlawanan pembukaan menentang Melaka United di Stadium Hang Jebat, malam ini, Sathit mahu pemainnya mengatur serangan dengan bijak dan mengelak daripada melakukan kesilapan.

“Malam ini adalah perlawanan yang ditunggu-tunggu oleh semua sama ada kita ataupun lawan... jadi saya mengingatkan semua pemain supaya bermain mengikut perancangan dan sentiasa awasi setiap gerakan lawan.

“Saya mahu setiap pemain menjadi pembunuh senyap... saya yakin semua pemain sudah tahu kerja masing-masing,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Mengulas ketiadaan dua tonggak pasukan, Badhri Radzi (Piya) dan Khairul Fahmi Che Mat (Apek) di Melaka, Sathit bagaimanapun tidak mudah melatah sebaliknya berkata dua posisi pemain itu sudah diisi dengan calon yang mampu memberi cabaran.

“Kita terpaksa melupakan Piya (posisi tengah) dan Apek (penjaga gol) kerana keadaan kesihatan mereka kurang mengizinkan setakat ini... namun posisi itu sudah ada pengganti yang juga mampu memainkan peranan.

“Selain itu kita turut membawa Nik Akif Syahiran Nik Mat dan melihat keadaannya sama ada dia sudah bersedia mengalas tanggungjawab sebagai pemain perancang dalam pasukan.

“Apapun, malam ini bukan satu perlawanan yang mudah kerana lawan pastinya mahu mencipta kemenangan di gelanggang sendiri lebih-lebih lagi dalam perlawanan pertama.

“Saya harap semua pemain melakukan terbaik kerana dalam 90 minit apa juga boleh berlaku kepada kita atau lawan,” katanya.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Februari 2018 @ 3:27 PM

Tiada ulasan :

Catat Ulasan