MyMetroArena
Hasbullah Ibrahim
sukanteam@nstp.com.my
KOTA BHARU: Kelantan mengesahkan
tempat ke suku akhir Piala Malaysia selepas menang 2-0 ke atas Kedah dalam aksi
terakhir Kumpulan C kempen Piala Malaysia di Stadium Sultan Mohamad Ke IV,
sebentar tadi.
Kelantan memperoleh peluang
terbaik untuk berada di depan menerusi tandukan Shafiq Shaharudin seawal minit
ke-10 namun percubaannya sedikit tersasar walaupun penjaga gol, Abdul Hadi
Abdul Hamid sudah tertewas.
Selang seminit, Kedah yang turun
tanpa tonggak import dari Brazil, Paulo Rangel hampir mendahului menerusi
rembatan deras Abdul Halim Saari namun ditepis keluar, Mohamad Faridzuean
Kamaruddin.
Selepas itu, penyerang import
Kedah, Sandro Da Silva dan penyerang tuan rumah, Shafiq terus buntu mencari gol
pendahuluan walaupun saling berbalas serangan.
Pada minit ke- 45,The Red
Warriors (TRW) mendapat peluang terbaik untuk mencetak gol pendahuluan, namun
rembatan Shafiq diselamatkan Abdul Hadi.
Bersambung babak kedua, Kelantan
semakin rancak melancarkan serangan bagi mencari gol menerusi gandingan Danial
Ashraf Abdullah dan Shafiq.
Gol pertama dicari Kelantan
akhirnya menjelma pada minit ke- 51 menerusi Danial Ashraf yang merembat
kencang dalam kawasan penalti selepas menerima hantaran Nik Akif Syahiran.
Kedah juga berpeluang mencetak
gol penyamaan pada minit ke-59 dan minit ke-74 menerusi Akhyar Rashid dan
tandukan susulan Liridon Krasniqi namun Faridzuean berjaya menepis keluar.
Pada minit ke-91 Nik Akif melebarkan
jaringan buat TRW hasil sepakan leret menewaskan Abdul Hadi dan kedudukan 2-0
kekal hingga wisel penamat.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada
: Ahad, 16 September 2018 @ 11:22 PM
Tiada ulasan :
Catat Ulasan