Ahad, 2 Disember 2018

Kelantan turunkan barisan kedua


ARKIB : 10/10/2009
KOTA BHARU - Kedah mungkin berhadapan laluan yang lebih mudah apabila Kelantan hanya menurunkan barisan keduanya dalam pertembungan Piala Malaysia di Stadium Darul Aman malam ini.

Skuad kijang mengambil langkah merehatkan sekurang-kurangnya lima pemain utamanya itu bagi memastikan mereka mempunyai barisan yang mantap menghadapi saingan yang lebih sukar di peringkat suku akhir Piala Malaysia.

Pemain yang dijangka direhatkan ialah Indra Putra Mahayuddin, Halim Napi dan Norfarhan Mohamad termasuk dua pemain yang mengalami kecederaan kecil, Khalid Jamlus dan Farisham Ismail.

Biarpun begitu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan, Azman Ibrahim memberi jaminan Kedah tidak akan mendapat laluan mudah kerana barisan keduanya mempunyai kualiti yang hampir sama dengan pemain utama pasukan tersebut.

"Untuk perlawanan malam esok (ini) kelima-lima pemain ini akan direhatkan kerana mereka telah mengikuti jadual yang ketat dalam saingan Piala Malaysia ini dan mungkin kita akan merehatkan beberapa pemain lagi.

"Walaupun menurunkan barisan kedua, kita tetap bermain untuk menang. Kita menurunkan barisan kedua bagi memberikan motivasi kepada pemain yang tidak pernah diturunkan sebelum ini dan mahu melihat gabungan pemain baru dengan lama," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1010&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz5YaUxIeED
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan :

Catat Ulasan