ARKIB : 15/10/2009
Oleh AZRAN FITRI RAHIM
azran.rahim@utusan.com.my
Presiden KAFA, Tan Sri Annuar
Musa (tengah) menyerahkan replika cek kepada kapten Kelantan, Indra Putra
Mahayuddin (kanan) sambil diperhatikan oleh Nor Farhan Mohamad sebagai bonus
selepas layak ke suku akhir di Kota Bharu, semalam.
KOTA BHARU - Skuad Kijang mula
mempamerkan watak 'wira merah' yang cuba dijadikan gelaran baru musim ini
apabila membelasah Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 5-0 di Stadium Muhamed IV di
sini malam kelmarin.
Ini merupakan jaringan terbanyak
ketika menghabiskan baki perlawanan peringkat kumpulan dalam persaingan Piala
Malaysia yang dilihat seolah-olah mahu melepaskan geram.
Bagaimanapun, ketua jurulatih
Kelantan, B. Sathianathan tidak mahu memuji kerana masih banyak yang perlu
dibaiki ekoran persembahan tidak mencapai tahap yang dimahukan.
Baginya, perlawanan tersebut
bukan kayu pengukur kerana mereka harus berhadapan dengan lawan yang lebih kuat
di peringkat suku akhir.
Malah beliau masih belum berpuas
hati dengan beberapa pemain di posisi tertentu yang masih terikut-ikut dengan
cara permainan lama yang ditinggalkan bekas jurulatih, Peter James Butler.
Katanya, perlawanan tersebut juga
menunjukkan ada di antara pemain gagal mengawal emosi dan tidak menunjukkan
sikap profesional sehingga terikut-ikut rentak penyokong di luar padang.
"Ada pemain yang mendapat
kad kuning ketika kita sedang mendahului 4-0 pada malam ini, sepatutnya tidak
perlu kad ini, buang masa kerana jika mendapat tiga kuning berturut-turut dia
akan terlepas peluang untuk beraksi pada perlawanan berikutnya.
"Pemain kena tunjukkan sikap
profesional dan bukannya terikut-ikut dengan rentak penonton tetapi secara
keseluruhannya saya berpuas hati dengan permainan malam tadi (kelmarin)
terutama pada separuh masa kedua," katanya.
Pada perlawanan suku akhir Selasa
ini, Kelantan akan bertemu dengan KL PLUS, di tempat lawan.
Bekas jurulatih kebangsaan itu
mengakui tugas untuk bertemu dengan KL PLUS amat berat dan memerlukan
perancangan rapi serta teliti.
"Kita perlu menghormati KL
Plus sebagai lawan yang kuat tetapi kita tidak perlu takut untuk memberikan
saingan yang terbaik," katanya.
Katanya, masalah utama pasukan
itu ialah di bahagian tengah apabila perancang utamanya, Badri Radzi mengalami
kecederaan panjang.
"Kita terpaksa mencuba
gandingan baru, malam ini, saya menggandingkan Ahmad Azlan Zainal dan Mohd.
Daudsu Jamaluddin di bahagian tengah.
"Mungkin kita akan mencuba
gandingan lain selepas ini tetapi mereka berdua dilihat berjaya memberikan
impak di posisi tersebut," katanya.
Sebelum ini, Ahmad Azlan dan
Mohd. Daudsu bermain di posisi pertahanan.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1015&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5YakDpKYb
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan :
Catat Ulasan