ARKIB : 25/10/2009
KUALA LUMPUR - Kelantan mengikut
jejak Negeri Sembilan dan Perlis untuk mara bergaya ke separuh akhir Piala
Malaysia selepas menang ke atas lawan masing-masing di suku akhir kedua,
semalam.
Jika Negeri Sembilan dan Perlis
memang sudah dijangka akan mara berikutan kemenangan selesa di suku akhir
pertama, Selasa lalu, Kelantan pula bangkit daripada keputusan seri untuk
layak.
Selepas diikat 1-1 oleh KL Plus
pada suku akhir pertama di tempat lawan, Kelantan mempamerkan corak permainan
lebih bertenaga semalam untuk menang 3-0 di Stadium Sultan Muhammed IV.
Skuad Kijang membenam cabaran
pasukan pelawat melalui gol jaringan Indra Putra Mahyuddin (m-13) dan Mohd.
Norfarhan (m-76, 79).
Dengan kemenangan ini, Kelantan
layak dengan jaringan agregat 4-1 untuk menempah pertemuan dengan Perlis di
separuh akhir.
Perlis pula seperti dijangka
tidak menghadapi masalah besar menewaskan Johor FC 2-0 di Stadium Utama Negeri
untuk mara juga menerusi agregat 4-1.
Selepas menang 2-1 di tempat
lawan sebelum ini, skuad bimbingan Irfan Bakti itu mudah merobek gawang Johor
FC menerusi jaringan Amar Rohizan (m-8) dan Nizaruddin Yusof (m-48).
Kedua-dua gol itu adalah hasil
hantaran K. Soley.
Namun, perlawanan semalam
dicemari dengan layangan tiga kad merah di mana paling malang adalah Perlis
yang bakal kehilangan pemain tonggaknya, Azi Shahril Azmi untuk berdepan
Kelantan nanti.
Azi terbabit dalam pergaduhan
dengan dua pemain Johor FC, Mohd. Saiful Sabtu dan M. Sivakumar yang turut
dibuang padang.
Di Stadium Darul Aman, pasukan
pelawat, Negeri Sembilan mudah meratah Kuala Muda Naza 3-0 untuk mara dengan
agregat 5-0.
Kesemua gol Negeri Sembilan itu
dijaringkan di babak pertama permainan menerusi Shukor Adan (m-21), Zaquan Adha
Razak (pen-28) dan Shahurain Abu Samah (m-36).
Sebelum ini pada suku akhir
pertama di tempat sendiri, Negeri Sembilan menang selesa 2-0.
Lawan Negeri Sembilan di separuh
akhir adalah Terengganu yang terpaksa bergelut sebelum menang ke atas Selangor
menerusi penentuan sepakan penalti 5-4.
Sebelum itu pada perlawanan suku
akhir kedua di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah Kuala Terengganu, semalam,
kedua-dua pasukan terikat 1-1 termasuk selepas aksi permainan 30 minit masa
tambahan untuk kedudukan agregat menjadi 2-2.
Dengan kekalahan itu, impian
Selangor untuk muncul juara treble selepas merangkul kejuaraan Liga Super dan
Piala FA sebelum ini ternyata tidak kesampaian.
Penjaga gol Terengganu, Mohd.
Sarbinee Allawee muncul wira Terengganu apabila dia menyelamatkan sepakan
penalti keempat Selangor yang diambil Nasriq Baharom.
Sarbinee kemudiannya mengambil
sendiri sepakan penalti kelima pasukannya untuk memastikan Terengganu mara ke
separuh akhir.
Untuk separuh akhir pertama
Selasa ini, Negeri Sembilan akan bertemu Terengganu di Seremban.
Manakala Kelantan akan bertemu
Perlis di Kota Bharu. Perlawanan separuh akhir kedua pula akan berlangsung pada
Sabtu di Kuala Terengganu dan Kangar.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1025&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz5YbkiAlqq
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan :
Catat Ulasan