Isnin, 3 Disember 2018

Siapa juara?


 
ARKIB : 07/11/2009
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
hafiz.ahmad@utusan.com.my
SKUAD Wira Merah di bawah pimpinan B. Sathianathan (kiri) terus menjadi pilihan untuk menjuarai Piala Malaysia edisi ke-43 malam ini namun di atas kertas, skuad Hoben Jang Hoben diterajui Wan Jamak Wan Hassan lebih menyerlah dan berjaya dengan rekod tanpa kalah sepanjang 10 perlawanan Piala Malaysia. Apa pun, aksi sepanjang 90 minit malam ini menjadi penentu siapa juara sebenar. - ILUSTRASI/NOR KAMARO MOHD. NOR

KUALA LUMPUR - Perang saraf menjelang perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia malam ini terus hangat dan memuncak dengan B. Sathianathan dan Wan Jamak Wan Hassan saling menuding jari kepada lawan untuk mengelak daripada dilabel pasukan pilihan pada anak buah masing-masing.

Jauh di hati kecil mereka sebenarnya tersimpan keazaman tinggi untuk membaharui sejarah pasukan masing-masing; Kelantan mahu mengatasi pencapaian naib juara Piala Malaysia 1970 dan Negeri Sembilan cuba menambah koleksi kemegahan di samping Piala HMS-Malaya 1948.

Walau apa pun, inilah kemuncak atau penentuan segala-galanya dalam Liga Malaysia musim 2009 apatah lagi masing-masing belum sempat menikmati sebarang gelaran setelah Piala Sultan Ahmad Shah, Piala FA dan Liga Super menjadi milik Selangor.

Menilai rekod pertemuan musim ini, Rezal Zambery Yahya dan Waghihnyo ternyata lebih menonjol malah memiliki kekuatan seimbang di segenap bahagian sedangkan Gu Indra Putra Mahayuddin agak mudah goyah jika diasak bertalu-talu dan kadangkala seperti bertindak secara individu.

Demi mengurangkan tekanan pasukan malah mengelak daripada termakan 'cakap besar' sendiri, kedua-dua jurulatih Kelantan dan Negeri Sembilan ini bagaimanapun hanya memilih jalan selamat dan cukup berhati-hati dengan kenyataan mereka pada sidang akhbar di Stadium Nasional, Bukit Jalil, semalam.

Ketika ramalan bergelar juara begitu popular terarah ke Kelantan, Sathianathan bingkas menyangkalnya dengan mengingatkan bahawa rekod empat pertemuan mereka musim ini, lebih menyebelahi Si Rusa malah ramai yang tidak memberikan harapan kepada anak buahnya sebelum ini.

"Tiba-tiba sahaja kami dijadikan pilihan bergelar juara. Dulu ada yang tidak berikan harapan langsung pun. Saya sendiri tidak menganggap Kelantan pilihan kerana dengan 10 perlawanan tanpa kalah dan tiga kali menang dengan kami, siapa yang lebih berhak?"

Apabila diajukan dengan rekod tanpa kalah sepanjang 10 perlawanan Piala Malaysia yang mampu mewajarkan label pilihan buat Negeri Sembilan, Wan Jamak pula menjawab: "Setiap perlawanan berbeza rentak dan suasana persaingannya. Keputusan lalu sudah tidak bermakna.

"Kami lebih senang sebagai bukan pilihan. Media pun banyak yang memilih Kelantan. Biarlah begitu kerana jika tertekan dengan label itu, pemain akan cenderung untuk membuat kesilapan yang tidak sepatutnya."

Kedua-dua pengendali pasukan ini juga sekadar sependapat bahawa anak buah masing-masing perlu dan ingin menang selain mendakwa sudah cukup bersedia dengan sebarang kemungkinan termasuk keadaan cuaca dan padang serta sekiranya perlawanan diheret sehingga ke penentuan sepakan penalti.

Sebagai rekod, Kelantan dihampakan Selangor hanya menerusi kegagalan sepakan penentuan penalti oleh Indra Putra pada perlawanan akhir Piala FA April lalu setelah kedua-dua pasukan terikat 1-1 termasuk selepas masa tambahan di gelanggang berkenaan.

Sathianathan bagaimanapun berkata, kejayaan memenangi penentuan jika diheret ke 120 minit itu masih tertakluk kepada keadaan diri pemain dan suasana semasa dan sekitarnya walau sepesat mana pun latihan mengambil penalti dijalankan sebelumnya.

"Kelantan dan lawan pasti bersedia dengan apa sahaja dalam perlawanan akhir ini malah Kelantan sudah bersedia sejak suku akhir Piala Malaysia lagi namun bagi saya, penalti banyak bergantung kepada keberanian pemain yang mengambilnya dan berdepan 85,000 penonton di sekeliling," katanya.

Kata Wan Jamak pula: "Kelantan mungkin memiliki seorang 'Pemain Paling Bernilai' (Indra Putra, pemenang Anugerah Bola Sepak Kebangsaan) tetapi perlu diingat bola sepak ialah permainan 11 orang. Ia juga terserah kepada kepintaran pemain menyesuaikan diri dengan apa juga keadaan yang mendatang."

Sementara itu, Indra Putra yang juga ketua pasukan Wira Merah mengakui, dia sudah melontar jauh-jauh memori pahit perlawanan akhir Piala FA itu malah yakin dapat menunaikan tanggungjawab yang sama jika ia masih berulang kali ini di depan 'Lautan Merah' penyokong mereka di Bukit Jalil.

"Saya sudah lupakan semua itu. Setakat ini selepas perlawanan akhir tersebut, saya tidak lagi mensia-siakannya tetapi saya amat berharap kalau dapat mengelak daripada diheret ke penentuan itu sekali gus menghabiskan perlawanan dalam tempoh 90 minit sahaja," katanya.

Rezal, ketua pasukan Negeri Sembilan pula mengidam satu lagi gelaran untuk dibanggakan dalam kariernya selepas membantu Johor menjulang Piala FA 1998 dengan menewaskan Sabah 1-0 sekali gus menebus kehampaan bersama Si Rusa yang ditewaskan Perlis 1-2 dalam perlawanan akhir Piala Malaysia 2006.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1107&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5YcDf25cQ
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan :

Catat Ulasan