Isnin, 3 Disember 2018

Kelantan hampiri final


ARKIB : 28/10/2009
Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN dan MOHAMMAD YASIR JAAFAR
sukan@utusan.com.my
KUALA LUMPUR - Kelantan boleh dianggap sudah berada sebelah kaki ke perlawanan akhir Piala Malaysia selepas menang 2-0 ke atas Perlis pada perlawanan separuh akhir pertama di Stadium Sultan Mohamed Ke-IV, Kota Bharu, semalam.

Namun dalam satu lagi separuh akhir, kedudukan Negeri Sembilan masih belum selamat selepas hanya mampu menang tipis 1-0 ke atas Terengganu di Stadium Tuanku Abd. Rahman Paroi.

Keempat-empat pasukan akan beraksi sekali lagi di Kangar dan Kuala Terengganu Sabtu ini bagi memuktamadkan dua pasukan ke final pada 7 November nanti.

Begitu pun di kalangan empat pasukan itu, Kelantan dilihat berada pada kedudukan paling selesa untuk menempah aksi di Stadium Nasional Bukit Jalil itu.

Walaupun masih mempunyai 90 minit permainan yang perlu diharungi di Kangar, Kelantan dianggap memperoleh bekalan selesa terima kasih kepada jaringan Indra Putra Mahyuddin (pen-30) dan Mohd. Rizal Fahmi Rosid (m-90).

Kelantan bagaimanapun memulakan perlawanan dengan lebih banyak bertahan pada 15 minit pertama permainan.

Sebaliknya Perlis hampir mencipta gol seawal minit kelima tetapi sepakan leret Ahmad Fakri Saraani gagal melepasi penjaga gol tuan rumah, Mohd. Halim Napi.

Lima minit berselang, Mohd. Nizaruddin Yusof hanya mampu melihat sepakan lencongnya sedikit sahaja melewati palang gol.

Peluang terbaik Kelantan hadir pada minit ke-18 melalui tandukan tepat Mohd. Norfarhan namun aksi akrobatik penjaga gol pelawat, Mohd. Farizal Marlias berjaya menepis bola.

Gol tuan rumah akhirnya tiba melalui hantaran cantik Che Hishammudin Hasan yang sampai tepat ke kaki Indra.

Terjahan keras Chan Wing Hong ketika cuba merampas bola menyebabkan Indra tersungkur di dalam kotak penalti dan pengadil perlawanan, Shokri Nor tidak teragak-agak memberikan sepakan penalti.

Gol tersebut membakar semangat tuan rumah yang mendapat sorakan daripada 25,000 penyokong mereka untuk terus menyerang kubu pelawat.

Saingan babak kedua berlangsung sengit dengan kedua-dua pasukan saling menyerang antara satu sama lain.

Namun sisa-sisa perjuangan Singa Utara dileburkan oleh jaringan Rizal yang menanduk masuk gol kedua pada minit ke-90 beberapa detik sebelum wisel penamat dibunyikan.

Sementara itu tuah di gelanggang sendiri tidak dimanfaatkan sepenuhnya Negeri Sembilan apabila sekadar menang tipis 1-0 ke atas Terengganu.

Aksi babak pertama, skuad Hoben Jang Hoben bermula garang dengan cubaan Mohd. Zaquan Adha Radzak terkena tiang seawal minit ke-8 hasil hantaran Shahurin Abu Samah.

Hasil serangan bertubi-tubi ke kubu lawan membuatkan cubaan penyerang Hairuddin Omar pada minit ke-21 berjaya menembusi gawang lawan, namun dibatalkan kerana ofsaid.

Kehadiran 20,000 penyokong menyemarakkan semangat para pemain sekali gus menyaksikan rentak permainan kedua-dua pasukan bertambah rancak dan kasar sehingga memaksa pengadil melayangkan tiga kad kuning.

Dua kad kuning yang dilayangkan itu adalah kepada kedua-dua ketua pasukan iaitu Rezal Zambry Yahya bagi Negeri Sembilan dan Mohd. Marzuki Yusof selain pertahanan Terengganu, Hariri Mohd. Shafie.

Bagaimanapun pada babak kedua, Negeri Sembilan berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-50 apabila Mohd. Aidil Zafuan Radzak menanduk kemas sepakan sudut S. Kunalan.

Namun usaha untuk menambah jaringan menemui jalan buntu apabila asakan demi asakan dibuat Negeri Sembilan tetapi gagal disempurnakan barisan penyerang mereka.

Terengganu pula dilihat lebih hanya mampu bertahan malah pasukan pelawat tambah tertekan apabila Hariri dibuang padang pada minit ke-79 kerana menerima kad kuning kedua.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1028&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5Ybx37O00
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan :

Catat Ulasan