ARKIB : 02/11/2009
Oleh BAZLI ABDUL RAHMAN
utusanperlis@utusan.com.my
Pasukan Kelantan meraikan
kemenangan sekali gus melayakkan diri ke perlawanan akhir Piala Malaysia
selepas menewaskan pasukan Perlis 3-1 menjadikan agregat 5-1 di Stadium Utama
Negeri di Kangar, kelmarin. UTUSAN/Faizal Abu Hassan
KANGAR Kelantan memang layak
ke final. Itulah perkataan pertama diungkapkan ketua jurulatih Perlis, Irfan
Bakti Abu Salim ketika ditemui selepas tamat perlawanan separuh akhir kedua
Piala Malaysia di Stadium Utama Negeri di sini, malam kelmarin.
Ungkapan pendek itu sebagai
menghargai kehebatan skuad pelawat yang layak ke perlawanan akhir menerusi
agregat 5-1 untuk bertemu Negeri Sembilan merebut Piala Malaysia di Stadium
Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, 7 November ini.
Ditanya maksud ungkapan tersebut
pula, Irfan Bakti menyatakan, skuad Pantai Timur itu patut layak kerana
memiliki beberapa kelebihan, terutama berkunjung ke Perlis berbekal dua gol.
Mereka datang dengan kelebihan
2-0. Ia memaksa kami mencari tiga gol. Saya tidak nampak kesukaran buat Perlis
mendapat tiga gol, tetapi kami mesti mencari gol awal. Namun begitu, kesilapan
pertahanan membuatkan mereka mencipta jaringan minit ke-26 menerusi Mohd. Nor
Farhan Muhammad.
Itu gol mudah. Apabila Kelantan
dapat satu, ia terus menekan mental pemain Perlis kerana mereka perlu mencipta
empat gol. Bermula dari situlah permainan mereka nampak semakin longgar,
ujarnya.
Irfan Bakti turut mengakui aksi
skuadnya di gelanggang sendiri malam kelmarin tidak menyamai kehebatan seperti
yang dipamerkan sewaktu beraksi di tempat lawan, Selasa lepas.
Perlawanan di sini jadi
terbalik. Di Kota Bharu kami beraksi cemerlang walaupun kalah, manakala
Kelantan sebaliknya. Di sini pula Kelantan yang cemerlang walaupun kami memaksa
mereka berkubu, ujarnya sambil mengucapkan tahniah buat skuad lawannya itu.
Jurulatih Kelantan, B.
Satianathan pula percaya kejayaan menumpaskan Perlis adalah hasil kesungguhan
pemain dan pengurusan skuad itu sendiri.
Walaupun sudah menang 2-0 di
Kota Bharu, tetapi saya mengarahkan semua pemain mengawal minda masing-masing.
Ini kerana, mereka pasti berdepan dengan asakan bertubi-tubi skuad Singa Utara.
Jangkaan saya ternyata benar.
Kami dipaksa bertahan sepanjang 90 minit. Ketiga-tiga gol yang diperolehi itu
pula adalah hasil serangan balas sahaja, ujarnya sambil mengakui pintu gol
Kelantan sepatutnya dibolosi oleh lima lagi jaringan skuad tuan rumah.
Lima gol yang terlepas buat
Perlis itu ialah pada minit ke-22 menerusi Mohd. Badrul Azam Zamri, minit ke-40
dan 52 oleh Mohd. Firdaus Faudzi, dan minit ke-43 dan 78 melalui Amar Rohidan.
Kelima-lima peluang keemasan itu
tidak menyebelahi tuan rumah kerana pemain gagal melepaskan rembatan ke sasaran
walaupun pintu gol sudah terbuka ketika dalam kotak penalti dan cuma berdepan
dengan penjaga gol lawan, Mohd. Halim Napi.
Dalam perlawanan itu, penyerang
utama Kelantan, Indra Putra Muhyidin tidak diturunkan kerana digantung satu
perlawanan ekoran menerima dua kad kuning.
Satianathan juga mengakui salah
satu daripada percaturan taktikalnya ialah tidak meletakkan pemain kebangsaan,
Muhammad Khalid Jamlus dalam kesebelasan utama.
Katanya, apabila Khalid
menggantikan Zul Yusri Che Harun minit ke-62, pemain lawan mula mengepung
pemain itu kemudian seperti mengabaikan jentera lain, sehingga ia membuka jalan
kepada pemain Kelantan mengatur gerak dan mengumpan bola kepada Mohd. Nor
Farhan mencipta hatrik.
Dalam perlawanan separuh akhir
kedua itu, Kelantan menang 3-1 menerusi jaringan hatrik Mohd. Nor Farhan minit
ke-26, 53 dan 87, sementara gol tunggal Perlis melalui, Mohd. Firdaus minit
ke-70.
Dengan keputusan tersebut,
Kelantan layak ke perlawanan akhir menerusi agregat 5-1, selepas menang 2-0 di
Stadium Sultan Mohamed Ke-IV, Kota Bharu, Selasa lepas.
Sabtu ini, Kelantan akan bertemu
Negeri Sembilan bagi merebut Piala Malaysia selepas lawannya itu menundukkan
Terengganu 3-1, di separuh akhir kedua di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin
Shah, Kuala Terengganu, juga malam kelmarin.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1102&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5Yc2EaWHn
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan :
Catat Ulasan