Isnin, 3 Disember 2018

Kelantan tak gentar kekebalan NS


ARKIB : 07/11/2009
Oleh SAYED HESHAM IDRIS
sukan@utusan.com.my
KUALA LUMPUR - Kelantan tidak gentar dengan rekod tanpa kalah Negeri Sembilan dalam saingan Piala Malaysia apabila kedua-dua pasukan berentap pada perlawanan akhir merebut trofi bola sepak tempatan paling berprestij di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.

Begitu juga kekebalan benteng pertahanan Negeri Sembilan yang hanya dua kali dibolosi di peringkat kumpulan sehingga ke separuh akhir Piala Malaysia tidak melemahkan semangat jentera serangan Red Warriors.

Sebaliknya, Kelantan sudah bersedia untuk meleburkan rekod gah Negeri Sembilan hari ini, seterusnya membawa Piala Malaysia ke Kelantan buat pertama kali.

Bagi Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Annuar Musa, pertembungan akhir malam ini satu perlawanan berbeza berbanding saingan peringkat sebelum ini.

Jelasnya, ini kerana bahang perlawanan akhir tidak sama seperti saingan peringkat kumpulan atau kalah mati.

''Saya akui Negeri Sembilan satu pasukan yang kuat dan berpengalaman. Mereka tidak pernah kalah di peringkat kumpulan atau kalah mati (Piala Malaysia).

"Hanya dua kali dibolosi oleh Johor dan Terengganu. Jurulatih (Wan Jamak Hassan) sudah tiga musim menerajui Negeri Sembilan.

''Mereka juga tidak pernah tercicir dari saingan Liga Super sejak ia diperkenalkan. Memang mereka lebih baik.

''Namun, kita akan beraksi esok (malam ini) dengan minda yang betul menjurus ke arah membawa pulang Piala Malaysia ke bumi Kelantan buat pertama kali.

"Inilah yang saya harapkan kepada para pemain esok. Bagi saya final esok bukan sekadar percaturan taktikal, tetapi lebih kepada pertempuran minda di kalangan pemain kedua-dua pasukan,'' katanya selepas majlis penyerahan imbuhan sebanyak RM100,000 oleh Badan Perhubungan UMNO Kelantan kepada KAFA di sini, semalam.

Cek disampaikan oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed.

Tambah Annuar, jangkaan kehadiran lebih 60,000 penyokong Kelantan di Stadium Nasional hari ini bakal merangsang permainan Kelantan.

''Saya jangkakan venue perlawanan akhir esok akan dibanjiri hampir 100,000 penonton kedua-dua pasukan.

''Ini menyebabkan para pemain terpaksa menyesuaikan minda, bukan sahaja debaran ketika perlawanan tetapi tekanan untuk merealisasikan harapan peminat dari tempat duduk penonton,'' katanya.

Sementara itu, Mustapa berkata, sumbangan yang dihulurkan merupakan perbelanjaan skuad Kelantan yang akan bercuti selepas ini, sebagai ganjaran setelah berjaya melangkah ke final.

''Sumbangan ini diharapkan akan menaikkan semangat para pemain Kelantan pada perlawanan akhir nanti,'' katanya.

Ditanya mengenai destinasi percutian skuad Kelantan, Annuar menjelaskan, beliau memberi peluang kepada para pemain untuk menentukan ke mana mereka mahu bercuti.

''Mereka boleh ke mana sahaja, selagi ada penerbangan yang boleh sampai ke tempat yang mereka mahukan,'' katanya.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1107&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz5YcEnGImJ
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan :

Catat Ulasan