Sabtu, 5 September 2020

Kelantan gagal tembusi Firdaus

 

Oleh Rozaidi Zulkifli

5 September 2020, 11:03 pm

KUALA LUMPUR: Aksi cemerlang penjaga gol Selangor II, Firdaus Irman Fadhil memastikan pasukan meraih satu mata berharga ketika mengikat Kelantan 0-0 dalam aksi Liga Perdana di Stadium Bandaraya Petaling Jaya, sebentar tadi.

Skuad kendalian Yusri Che Lah turun dengan suntikan semangat baharu selepas Norizam Tukiman mengotakan janji dengan muncul penyelamat Kelantan apabila melabur RM6.8 juta untuk memiliki sepenuhnya saham Team Red Warriors (TRW) Sdn. Bhd., sekali gus bergelar pemilik baharu TRW.

Beraksi di hadapan pemilik baharu, skuad The Red Warrior bermula garang apabila mula melancar serangan sebaik sahaja wisel sepak mula ditiup.

Tekanan yang diberikan pasukan pelawat menyaksikan mereka memperolehi sepakan penalti selepas pertahanan tuan rumah menjatuhkan penyerang import, Lazarus Kaimbi pada minit kelapan.Bagaimanapun peluang keemasan itu gagal disempurnakan Kaimbi untuk menewaskan Firdaus.

Meskipun kedua-dua pasukan saling berbalas serangan namun kedudukan kekal 0-0 pada babak pertama.

Bersambung babak kedua, Selangor II terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas pemain tengah Syazwan Salihin dilayang kad merah selepas menerima kad kuning kedua.

Namun kesempatan itu gagal dimanfaatkan Kelantan, di samping aksi cemerlang ditampilkan Firdaus menafikan beberapa percubaan berbahaya barisan serangan pelawat.

Barisan pertahanan Selangor II juga harus dipuji apabila menampilkan disiplin yang tinggi walaupun menerima serangan bertali arus daripada Kelantan.SUMBER SUKAN UM ONLINE

Tiada ulasan :

Catat Ulasan