Ahad, 6 September 2020

Yusri tumpu baki perlawanan

MyMetroArena

Yusri Che Lah. FOTO File NSTP

Firdaus Hashim

firdaushashim@hmetro.com.my

PENGENDALI Kelantan, Yusri Che Lah enggan terlalu memikirkan soal masa depannya ketika kontraknya bakal berakhir hujung musim ini.

Jelas bekas pemain kebangsaan itu, sehingga kini masih belum ada perbincangan lanjut bersama pengurusan pasukan termasuk pemilik baharu, Norizam Tukiman.

Katanya, fokus dan tumpuannya kini hanyalah untuk memastikan skuad The Red Warriors (TRW) mampu mencabar kejuaraan dengan saingan Liga Perdana ketika ini sudah memasuki fasa pertengahan.

"Saya belum fikir mengenai masa depan kerana mahu fokus dan habiskan baki perlawanan musim ini. Kita serah kepada pemilik buat keputusan untuk kekalkan mana-mana pemain dan jurulatih," katanya.

Mengulas keputusan seri tanpa jaringan yang diraih ketika menentang Selangor II di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, semalam, beliau memohon maaf kepada seluruh peminat TRW dan Norizam.


"Secara jujur saya redha dengan keputusan ini walaupun hati kecil mengatakan kami patut menang. Walaupun ada beberapa peluang terhidang tetapi kami tidak manfaatkannya.


"Pemilik (Norizam) hadir malam ini (semalam) untuk menang dan saya minta maaf dengan apa yang berlaku. Saya harap pemain ambil iktibar menjelang perlawanan akan datang," katanya.


TRW ketika ini mengumpul lapan mata daripada enam aksi untuk berada di kedudukan kelapan sekali gus dilihat sukar untuk meraih slot ke Liga Super musim depan.


SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 September 2020 @ 10:32 PM

Tiada ulasan :

Catat Ulasan