Khamis, 28 Julai 2016

Juara matlamat Kelantan

ARKIB : 19/03/1998
KELANTAN yang sudah pun menempah tiket ke pusingan separuh akhir kelayakan ke Liga Perdana Satu setelah menumpaskan Johor 2-1 di Kota Bharu kelmarin kini memburu juara bagi Kumpulan B, lapor ISMAIL MUHAMAD.

Skuad Kijang akan menurunkan kesebelasan utama bagi misi perjuangan terakhir dalam Kumpulan B menemui Terengganu di Kuala Terengganu 21 Mac ini yakin mengutip mata penuh.

Peluang Terengganu ke pusingan separuh akhir sudah pun padam selepas kemenangan Kelantan ke atas Johor di Kota Bharu malam kelmarin.

Bagi Terengganu kemenangan pada 21 Mac ini tidak lagi penting lantaran terjerumus ke Liga Premier Dua tetapi di segi maruah skuad Penyu mungkin mahu membuktikan kepada peminat kekalahan mereka di Kota Bharu 2-3 tempoh hari sebagai takdir selepas mendahului pasukan tuan rumah 2-0.

Pengurus skuad Kelantan, Suhaidi Yusof menjanjikan persembahan terbaik di Kuala Terengganu Sabtu ini dan berharap dapat menurunkan kesebelasan utama termasuk Adamu Moro Tigana yang telah terlepas dari penggantungan dan tonggak pertahanannya, Ghapor Mohamad.

Menurutnya, bagi Kelantan pertemuan pada pusingan kedua sama ada skuad Olimpik 2000 atau Pulau Pinang tidak begitu penting, sebaliknya Kelantan mahu merebut juara Kumpulan B bagi mengatasi rekod skuad Jengking yang memalukan Kelantan dengan jaringan 0-3 ketika pertemuan di Stadium Larkin.

Suhaidi yakin reputasi Hashim Mustapha akan kembali menyerlah dalam pertemuan dengan Terengganu.

Ketua pasukan Kelantan itu dikeluarkan pada minit ke-77 digantikan dengan Wong Kah Loon sementara Zahasmi Ismail menggantikan Mohd. Badrisham Kadir dalam usaha mengubah rentak Kelantan.

Kemasukan seorang lagi pemain muda, Hishamudin Hassan menggantikan Alif Rohaimin Azihan ternyata memberikan tenaga baru untuk Kelantan menyekat impian Johor mendapatkan seri.

Bagaimanapun pertemuan dengan Terengganu nanti, Kelantan belum dapat menjamin penyertaan Mario Gomez yang masih mengalami kecederaan.

Suhaidi menjelaskan, Kelantan tetap menjanjikan persembahan bersih dan peningkatan prestasi pemainnya ketika bertemu Terengganu nanti.


SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0319&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_07.htm#ixzz4FiBvqHFU © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan :

Catat Ulasan