Khamis, 28 Julai 2016

Amaran keras, kata dua cetus kebangkitan Kijang

ARKIB : 12/03/1998
AMARAN keras dan kata dua pengurus pasukan Kelantan, Suhaidi Yusof pada masa rehat memberikan perubahan kepada skuad Kijang sehingga membawa kemenangan ketika menentang Terengganu di Kota Bharu, kelmarin.

ISMAIL MUHAMAD melaporkan, Suhaidi ternyata berang dan meluahkan rasa tidak puas hati dengan corak persembahan anak buah pada separuh masa pertama dalam perlawanan itu.

Di bilik persalinan semasa rehat perlawanan, Suhaidi menegaskan kepada pemain, beliau akan meletakkan jawatan selaku pengurus pasukan sekiranya Kelantan tumpas di tangan Terengganu, malam itu.

''Saya betul-betul serius, saya tidak tahu di mana silapnya sikap sambil lewa pemain dalam separuh masa pertama perlawanan itu dan saya terus mengambil keputusan nekad untuk meletakkan jawatan sekiranya Kijang kecundang di gelanggang sendiri,'' ujarnya.

Bagaimanapun, beliau menarik balik keputusan itu setelah pemain membuktikan komitmen sebenar sehingga mampu mengatasi Terengganu 3-2 walaupun ketinggalan 0-2 pada babak pertama.

Suhaidi mengakui persembahan tempang Mario Gomez yang masih kesakitan di tumit kaki kirinya dan terpaksa dikeluarkan.

Menurutnya, Mario diturunkan setelah pemain itu berkali-kali merayu agar diturunkan bagi merayakan kelahiran anak pertamanya (lelaki) pada sebelah pagi hari perlawanan itu.

''Kemenangan ini juga saya hadiahkan untuk Mario Gomez sebagai hadiah hari kelahiran cahaya matanya yang pertama,'' ujar Suhaidi.

Ketiadaan Adamu Tigana dalam dua perlawanan selepas ini tidak begitu membimbangkan skuad Kijang dengan adanya pemain-pemain di barisan tengah yang boleh mengambil alih tempatnya.

Suhaidi menghargai sumbangan Tigana bagaimanapun terkilan pemain itu diperintah keluar padang pada minit ke-79 selepas memungut dua kad kuning di perlawanan itu.

Sementara itu, jurulatih skuad Terengganu, Abdul Rahman Ibrahim menyifatkan satu keajaiban dilakukan oleh pemain skuad Kelantan pada separuh masa kedua.

Beliau turut terkejut dengan semangat berjuang pemain skuad Kijang sehingga mampu memporak-perandakan benteng pertahanan Terengganu dan melumpuhkan kedua penjaga gol Tay Sin Kiat dan Zubir Ibrahim.

Beliau menyifatkan ketewasan Terengganu akibat kelemahan penjaga gol yang hilang arah pada babak separuh masa kedua.

Tay Sin Kiat yang diturunkan selaku penjaga gol utama skuad penyu terpaksa dikeluarkan selepas melepaskan dua jaringan pasukan tuan rumah dan penggantinya, Zubir Ibrahim mengulangi kesilapan Tay Sin Kiat untuk Kelantan memperolehi tiga mata penuh perlawanan itu.

''Penjaga gol kami sangat lemah, tidak mempunyai keupayaan dan gugup sehingga Terengganu menemui padah walaupun mendahuli 2-0 pada babak pertama,'' ujar Abdul Rahman ketika ditemui sebaik sahaja selesai perlawanan itu.

Abdul Rahman berkata, kedua penjaga gawang Terengganu perlu menjalani latihan lebih intensif selepas ini dan membuat tabiat gugup dan hilang arah apabila menghadapi tekanan pasukan lawan.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0312&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4FhWyAMnm © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan :

Catat Ulasan