Isnin, 25 Julai 2016

Gomez, Puzutto legakan Kelantan

ARKIB : 03/02/1998
PEMAIN dari Argentina, Mario Gomez dan Luis Puzutto mengubat hati pengurus Kelantan, Suhaidi Yusof setelah kedua-duanya menyertai latihan dalam skuad Kijang, kelmarin, MOHD. NOOR ISMAIL melaporkan.

Kedua-duanya masih mendapat kepercayaan dari Persatuan Bola Sepak Kelantan untuk menghadapi Liga Perdana 1998 bagi tempuh setahun ini.

Mario selaku perancang di barisan tengah manakala Luis berpasangan dengan Hashim Mustapha di barisan hadapan akan diuji dalam perlawanan menentang skuad pilihan Afrika di Stadium Sultan Muhamad Keempat Kota Bharu, malam ini.

Suhaidi sukar meramalkan kelibat barisan hadapan Kelantan yang baru dipadukan antara Hashim, Luiz Puzutto dan Wan Rohaimi Wan Ismail memandangkan ketiga-tiga diketemukan kelmarin.

Hashim, bekas penyerang Kedah yang baru kembali ke lubuk asalnya perlu membuktikan kemampuannya beraksi bersama pemain-pemain muda Kelantan yang lain termasuk Robik Ismail, Badrisham Kadir, Alif Rohaimi Azizhan, Tuan Rosli Shaari dan Sarudy Aziz.

Bagi Mario Gomez tugasnya lebih mudah memandangkan gandingan di barisan tengah masih bersama Tuan Kamree Tuan Yahya dan Mohd. Nazaruddin Mat Zain.

Kelantan masih tidak mempunyai tenaga import untuk membantu Zahasmi Ismail di barisan pertahanan yang turut didokong oleh Mohd. Saifulnizam Hussin, Azhar Aziz dan Zulkifli Abdullah.

Suhaidi menjelaskan, latihan sejak dua hari lalu di padang batalion ke-12 Pasukan Polis Hutan, Pengkalan Chepa sebagai memperkemaskan barisan pemain bagi menghadapi pemain muda pilihan Afrika.

Skuad Kelantan kini di bawah pengendalian Kamaruddin Mohd. Noor yang diberi peranan utama selaku jurulatih baru skuad Kijang yang dibantu Hamid Ramli.

Katanya, Kamaruddin dipilih mengemudi skuad Kelantan musim ini dan perlawanan malam ini tidak seharusnya dijadikan ukuran di atas kemampuan sebenar jurulatih itu.

Katanya, tidak sukar bagi skuad pelatih Kelantan menghadapi 'skuad permata hitam' dari Afrika memandangkan dua perlawanan ujian sebelum ini menentang skuad pilihan Ghana mungkin mendedahkan keupayaan yang hampir sama.

Menurutnya, kemungkinan beberapa pemain dari Sabah dan Kuala Lumpur turut diuji malam ini sekiranya mereka berhasrat untuk turut selaku calon pilihan Kelantan dalam menghadapi kempen Liga Perdana musim ini.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0203&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4FR8EKc2i © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan :

Catat Ulasan