Rabu, 27 Julai 2016

Barisan muda Kelantan belasah JKR

ARKIB : 01/03/1998
KELANTAN yang dibarisi sebahagian besar pemain muda membelasah Kelab Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan 6-0 dalam perlawanan bola sepak persahabatan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, kelmarin, lapor MOHD. NOOR ISMAIL.

Ujian tersebut sebagai menguji pemain-pemain yang tidak berpeluang beraksi ketika Kelantan mengadakan perlawanan-perlawanan persahabatan menentang Ghana, Kelab Pogon dari Poland, Kelab Patalung dari Thai dan Pahang sebelum ini.

Kelab JKR pula yang dibarisi bekas pemain negeri dan pemain-pemain Liga Simpanan musim lalu dengan bimbingan bekas penjaga gol kebangsaan, Awang Isa gagal menjinakkan kelincahan skuad Kijang.

Pengurus skuad Kijang, Suhaidi Yusof berkata, beberapa pemain muda dalam skuad tersebut turut membuktikan tahap memuaskan untuk mendapat tempat dalam kesebelasan utama.

Sedang barisan pemain muda (sebilangan pemain simpanan) beraksi menentang Kelab JKR, jurulatih Hamid Ramli memberikan latihan lasak kepada pemain-pemain utama Kelantan musim ini.

Suhaidi menjelaskan, tumpuan kepada latihan lasak itu adalah untuk meningkatkan tahap kecergasan pemain. Kelemahan itu terserlah sewaktu Kelantan beraksi menentang Pahang, tiga hari lalu.

''Bagi saya antara empat perlawanan persahabatan yang dilalui oleh Kelantan, pertemuan dengan Pahang paling memuaskan, tetapi pemain gagal mempertahankan tahap kecergasan sehingga akhir permainan,'' ujarnya.

Kecederaan yang dialami oleh Adamu Tigana selepas 15 minit separuh masa kedua dan Wah Kah Loon dikeluarkan selepas itu mencacatkan persembahan Kelantan yang seolah-olah hilang arah.

Bagaimanapun beliau memuji kesungguhan ditunjukkan oleh Hashim Mustapha yang semakin garang dan menghasilkan jaringan terbaik ketika bertemu kelab dari Thailand dan Pahang.

Beliau tidak bercadang mengadakan perlawanan ujian dengan pasukan utama yang beraksi dalam Liga M musim ini sebaliknya mengadakan perlawanan dengan kelab-kelab tempatan menjelang perlawanan play-off menentang Johor 7 Mac ini di Johor Bahru.

Sementara itu, tiga import Kelantan _ Mario Gomez, Luis Puzutto dan Adamu Tigana berjanji mempamerkan aksi cemerlang bagi kesemua perlawanan play-off untuk kelayakan ke Premier Satu.

Menurut Luis, keempat-empat perlawanan ujian bukan ukuran sebenar bagi mereka bertiga.

''Kami berjanji untuk mempamerkan permainan bersungguh-sungguh dalam perlawanan itu bagi memastikan Kelantan layak menyertai Kumpulan Satu tahun ini,'' ujar Luis Puzzuto selepas sesi latihan di Stadium Sultan Muhammad Keempat Kota Bharu, semalam.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0301&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_06.htm#ixzz4FbzFzzAJ © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan :

Catat Ulasan