Khamis, 28 Julai 2016

Perlawanan hidup mati menentang Johor 17 Mac

ARKIB : 16/03/1998
KELANTAN menjanjikan corak permainan agresif dan keras bagi melayan kunjungan Johor pada pertandingan kelayakan bola sepak Liga Perdana di Stadium Sultan Muhammad Keempat, Kota Bharu pada 17 Mac ini.

Dengan meletakkan peluang hidup mati bagi Skuad Kijang untuk ke separuh akhir, Pengurus Kelantan, Suhaidi Yusof yakin kesebelasan utamanya mampu mengekang pasukan pelawat.

Beliau berkata, corak permainan keras yang ditunjukkan oleh Johor ketika menentang Kelantan pada 7 Mac lalu dilihat sebagai senjata memporak-perandakan Skuad Kijang dengan kemenangan 3-0.

Namun bagi Suhaidi, beliau sudah mengatur percaturan untuk mematahkan sengat Johor yang lebih bergantung kepada pemain importnya, Tuboly Frigyes yang bermain cara agresif dan keras sewaktu menentang Kelantan dan juga Terengganu.

''Oleh itu, Kelantan akan lebih menekankan corak permainan keras dan agresif bagi melayan kunjungan Johor pada perlawanan timbal balas di Kota Bharu Selasa ini,'' katanya dalam sidang akhbar di Kota Bharu semalam.

Menurut Suhaidi, Kelantan akan menurunkan kesebelasan utama termasuk pemain pertahanannya, Ghafor Mohamad yang dilanda kesihatan dan Mario Gomez yang cedera meskipun ketiadaan Adamu Tigana yang menerima kad merah.

Malah katanya, benteng pertahanan Kelantan akan mengenengahkan pemain yang mempunyai corak permainan keras bagi menyekat kemaraan Tuboly.

''Pengalaman lalu menentang Johor memberi ruang kepada Kelantan mempelajari corak permainan Johor yang agak keras terutama pemain import mereka, Tuboly itu,'' katanya.

Suhaidi optimis kesebelasan utama Kelantan mampu mengekalkan corak permainan bersemangat sebagaimana yang ditunjukkan ketika menentang Terengganu di Kota Bharu Selasa lalu yang membawa kemenangan 3-2.

Kesefahaman dan semangat berkobar-kobar di kalangan pemain termasuk dalam sesi latihan menyakinkan Skuad Kelantan boleh menjinakkan Johor.

''Kekalahan Kelantan kepada Johor 0-3 kerana pemain lebih berhati-hati dan menggunakan corak permainan lembut sedangkan Johor begitu agresif di hadapan peminat mereka,'' ujarnya.

Bagaimanapun Suhaidi menjanjikan perlawanan menentang Johor sebagai misi membalas dendam dan untuk mencapai kejayaan itu, Kelantan bersedia mengepung dan melanyak habis-habisan pasukan pelawat.

Tumpuan utama pemain Kelantan ialah kepada Tuboly yang menjadi nadi penggerak dan Suhaidi percaya, pemain import Johor itu tidak akan bermaya dalam kepungan anak buahnya yang terlalu lapar kemenangan.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0316&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4Fi2hWXhc © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan :

Catat Ulasan