Khamis, 28 Julai 2016

Misi Kelantan juara kumpulan

ARKIB : 21/03/1998
KELANTAN menjanjikan tentangan sengit ketika bertemu Terengganu di Kuala Terengganu malam ini sekalipun sudah layak ke separuh akhir perlawanan kelayakan ke Liga Perdana Satu.

Kejayaan Kelantan lebih awal mengiringi Johor ke separuh akhir bukan merupakan satu tiket untuk pemain-pemain berpeluk tubuh sebaliknya akan memastikan misi menjuarai kumpulan B menjadi kenyataan.

Pungutan mata penuh di Kuala Terengganu malam ini sudah pasti bagi Kelantan mengumpul 9 mata untuk mengatasi Johor dengan 7 mata meskipun skuad Jengking itu sudah menempah tiket ke separuh akhir lebih awal daripada skuad Kijang.

Kemenangan 3-2 ke atas skuad Penyu di Kota Bharu pada 10 Mac lalu bukan nasib semata-mata sebaliknya datang daripada kemampuan pemain yang cepat membaiki kelemahan yang ketara di separuh masa pertama.

Tindakan Terengganu mencuri perhatian dengan dua gol awal pada separuh masa pertama cepat dibaca oleh Suhaidi Yusof dan jurulatih, Kamaruddin Mohd. Noor untuk membenam skuad Penyu dengan kedudukan 3-2.

Berpegang kepada corak permainan Kelantan yang semakin meningkat melalui sesi latihan dan perlawanan, Suhaidi yakin skuad Kijang mampu memberikan tentangan dan mampu mengulangi sekali lagi kejayaan ke atas Terengganu malam ini.

Walaupun tidak memperkecilkan semangat Terengganu untuk mencari kemenangan maruah ke atas Kelantan namun Suhaidi sudah bersedia lebih awal dengan memberikan isyarat kepada pemain-pemainnya agar menentang habis-habisan skuad Penyu.

''Pemain-pemain Kelantan menjanjikan persembahan menarik malam esok (malam ini) kerana setiap permainan adalah penting untuk dimenangi,'' ujarnya kepada Sukan Utusan di Kota Bharu semalam.

Suhaidi berkata, sejarah hitam yang tercetus antara Kelantan dan Terengganu di Kuala Terengganu pada musim lalu merupakan pengajaran bagi anak buahnya untuk tidak mengulangi kejadian buruk pada musim ini.

Bagi Kelantan katanya, kemerosotan musim lalu sehingga meletakkan skuad Kijang membarisi pasukan tercorot sudah cukup menyedarkan pemain-pemain untuk menghadapi persaingan baru merebut tempat ke sepuluh ke Liga Perdana Satu.

Dengan percaturan strategi yang disusun oleh Kamaruddin dan semangat berkobar-kobar oleh kesebelahan utama Kelantan, beliau menaruh harapan pemain-pemain dapat membuktikan kemampuan bukan sahaja di tempat sendiri malah bertandang di tempat lawan.

''Harapan yang tinggi untuk membawa cabaran sengit Liga Perdana Satu adalah matlamat skuad Kijang dan sekali gus menolak tanggapan Kelantan pasukan tidak konsisten seperti musim-musim lalu,'' katanya.

Suhaidi berkata, kehadiran pemain import seperti Adamu Moro Tigana, Luis Puzzuto dan Mario Gomez serta tonggak pertahanan, Ghafor Mohamad serta Wong Kah Loon bersama pemain tempatan termasuk Hashim Mustapha telah menguatkan lagi jentera pemusnah skuad Kijang musim ini.

Oleh: ISMAIL MUHAMAD

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0321&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4FmCxijoQ © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan :

Catat Ulasan