Rabu, 27 Julai 2016

Kijang kehilangan dua tonggak

ARKIB : 03/03/1998
KELANTAN mula gelisah menjelang pertemuan kelayakan Perdana Satu menentang Johor, Sabtu ini selepas kehilangan dua tonggak utamanya, Mario Gomez dan Wah Kah Loon yang masih dibelenggu kecederaan, lapor MOHD. NOOR ISMAIL.

Pengurus Kijang, Suhaidi Yusof kini terpaksa merangka strategi baru memusnahkan impian kemenangan lawan tanpa dua tonggak tersebut.

Kedua-duanya terpaksa direhatkan selepas mengalami kecederaan serius pada perlawanan persahabatan dengan Kelab Sukan Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan, kelmarin.

Gomez dan Kah Loon juga telah dinasihatkan oleh pegawai perubatan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) agar berehat untuk beberapa hari.

''Menjelang 7 Mac ini, seandainya dua pemain tengah itu tidak dapat diturunkan, Kelantan tidak mempunyai pilihan lain dan terpaksa mempertaruhkan Tuan Kamree Tuan Yahya dan Adamu Tigana di posisi tengah,'' ujarnya di Kota Bharu, semalam.

Suhaidi bagaimanapun menarik nafas lega apabila kecederaan Tigana hampir pulih sepenuhnya untuk digandingkan dengan Tuan Kamree bagi memperkukuhkan barisan tengah skuad itu.

Beliau tidak dapat melindungi rasa kecewa kerana hasrat menurunkan Kah Loon dalam kesebelasan utama pada pertemuan menentang Johor di gelanggang lawan Sabtu ini tidak kesampaian.

Pemain itu yang mengalami kecederaan serius di bahagian tumit kaki kiri kini terpaksa sekadar menjadi penonton, manakala Mario Gomez cedera di bahagian lutut juga terpaksa direhatkan sekurang-kurangnya bagi tempoh seminggu.

Skuad Kelantan menjalani latihan setiap pagi dan petang di Stadium Sultan Muhammad Keempat Kota Bharu menumpukan kepada kepantasan dan kemahiran menjaringkan gol.

Jurulatih Kamaruddin Mohd. Noor dan Hamid Ramli mengakui ketumpulan barisan serangan Kelantan yang sukar menyempurnakan aksi penyudah.

Begitupun, beliau meletakkan kepercayaan kepada tiga pemain utama iaitu Hashim Mustapha, Tuan Kamree Tuan Yahya dan Luis Puzutto yang mempunyai rembatan yang kencang untuk tugas berat itu, termasuk memastikan sepakan percubaan di luar kotak penalti tidak tersasar.

Tugas mengawal gawang pula diberikan kepada Azuan Othman atau Wan Kamaruzaman Mohamad yang bakal menggalas tugas selaku benteng terakhir selepas ketiadaan Halim Napi yang kini menghitung hari pembebasan penggantungannya.

Suhaidi menyedari tugas berat Kelantan di Johor Bahru ketika berhadapan skuad Jengking dengan ribuan penyokong mereka yang mahukan skuad tersebut melepasi cabaran play-off.

Bagaimanapun Kelantan mampu memberikan saingan terbaik dengan perubahan skuad berwajah baru Kelantan di bawah bimbingan dua jurulatih tempatan yang semakin menampakkan belangnya.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0303&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4Fc5gTlWG © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan :

Catat Ulasan