Isnin, 25 Julai 2016

Kamaruddin mungkin latih Kijang

ARKIB : 27/01/1998
KELANTAN mungkin mengambil keputusan melantik Kamaruddin Mohd. Nor sebagai jurulatih pasukan Liga Perdana musim ini dalam usaha mengisi jawatan yang masih kosong.

Kemungkinan itu agak ketara apabila beliau diberi tugas mengendalikan latihan bagi menguji pemain yang akan dipilih mewakili skuad liga musim ini.

Dari segi kelayakan, bekas jurulatih pasukan Liga simpanan Kelantan itu turut memiliki lesen jurulatih kelas A yang dikeluarkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Malah, pada tahun 1996 Kamaruddin pernah diberi kepercayaan menjadi penolong jurulatih membantu Kelly Tham sebelum ditukar mengemudi liga simpanan pada tahun lalu.

Pengurus pasukan, Suhaidi Yusof sewaktu dihubungi, tidak menolak kemungkinan itu berdasarkan kepada keupayaan serta pengalaman yang dimiliki oleh Kamaruddin.

Beliau berkata, Kamaruddin memang layak untuk dilantik sebagai jurulatih, walaupun pihak pengurusan belum lagi membincangkan perkara tersebut.

''Saya tidak menolak kemungkinan Kamaruddin dilantik sebagai jurulatih, dia mempunyai pengalaman serta kelayakan yang diperlukan,'' katanya kepada Sukan Utusan semalam.

Jawatan jurulatih skuad Kijang menjadi perhatian selapas Bekas jurulatih kebangsaan, Irfan Bakti menarik semula persetujuan untuk dilantik kejawatan tersebut.

Sukan Utusan difahamkan penarikan Irfan ada kaitan dengan masalah peribadi dengan 'orang tertentu' dalam Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) walaupun mendapat tawaran gaji yang lumayan.

Menurut Suhaidi, Kelantan tidak akan tergopoh-gapah dalam menangani isu siapa yang akan dilantik sebagai jurulatih, kerana urusan latihan berjalan seperti biasa.

Jelasnya, pihak pengurusan masih mempunyai banyak pilihan terhadap calon jurulatih dan akan membuat keputusan selawat-lewatnya selepas Hari Raya.

''Untuk sementara waktu latihan pemilihan dijalankan di padang bola sepak, Batalion Ke 12, Pasukan Polis Hutan (PPH) Pengkalan Chepa. Selain Kamaruddin urusan latihan juga turut dibantu oleh Hamid Ramli yang dihadiri oleh lebih 25 orang pemain dalam satu masa,'' ujarnya.

Tambah beliau, belum ada pemain yang didaftarkan kecuali sembilan orang pemian musim 1997 yang kontraknya akan tamat pada hujung tahun ini.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0127&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4FQyZTOKF © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan :

Catat Ulasan